Saturday, March 01, 2014

Sepetang Dalam Harmoni.. Dialog Di Mujahid Di Gereja Christ The King.


Dr Mujahid Yusof Rawa (kiri), moderator (tengah) dan Dr Steven Selvaraj semasa dialog di antara PAS dan Gereja Christ the King di Sungai Petani, Kedah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 1 Mac 2014. 
Dr Mujahid Yusof Rawa (kiri), moderator (tengah) dan Dr Steven Selvaraj semasa dialog di antara PAS dan Gereja Christ the King di Sungai Petani, Kedah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 1 Mac 2014.

Selesai solat Jumaat semalam, Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa hadir di sebuah gereja di Sungai Petani dengan membawa mesej keamanan kepada penganut Kristian, selain memberitahu Allah adalah untuk semua, mesej yang berbeza daripada khutbah Jumaat semalam yang mendakwa kalimah Arab itu hanya untuk umat Islam.

Berucap di sebuah program dialog bertajuk "Sepetang Dalam Harmoni, Rahmat Untuk Semua" kepada kira-kira 100 hadirin yang memenuhi ruang di Church of Christ the King, iaitu penampilan kedua beliau di gereja itu sejak tiga tahun memulakan usaha dialog antara agama, Mujahid berhujah keputusan kerajaan adalah bermotifkan politik berbanding agama.

"Islam adalah agama persekutuan tetapi bukan Islam bebas menganut dan mengamalkan agama mereka. Yang tidak dibenarkan adalah menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Sudahpun ada persediaan di situ untuk hubungan antara agama.
"Namun ia tergelincir dan dimanipulasi ahli politik untuk kepentingan mereka sendiri dan memecahkan undi berdasarkan kaum," kata Mujahid pada dialog itu yang menyaksikan hadirin sabar menunggu walaupun terpaksa dimulakan lewat setengah jam.

Sehingga kini, sudah hampir 20 buah gereja dikunjungi Mujahid bagi mempromosi dialog antara agama. - Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 1 Mac, 2014.Sehingga kini, sudah hampir 20 buah gereja dikunjungi Mujahid bagi mempromosi dialog antara agama. - Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 1 Mac, 2014.Mujahid, 49, berkata, dengan isu seperti penggunakan kalimah Allah oleh kitab Bible berbahasa Melayu, "pelakon politik" sedang menghancurkan tiang negara yang dibina pengasas Malaysia.

Mujahid menyentuh sifat eksklusif dan inklusif di dalam agama, di mana eksklusif merujuk kepada kepercayaan seseorang itu kepada sesebuah agama.
Manakala di dalam sebuah masyarakat majmuk, jambatan inklusif di dalam agama merentasi sifat saling menghormati dan memahami, dialog dan mengelak perbuatan yang boleh mencetus kebencian, seperti memaki agama lain.

"Hentilah memberitahu penganut agama lain, seperti Kristian, tentang apa yang boleh dan tidak boleh dituturkan mereka.
"Kalaulah seorang Kristian di sebuah negara di mana umat Islam adalah minoriti bercakap sebegitu kepada seorang Islam, dunia akan bergolak," katanya, dan berkata adalah salah untuk merampas Bible, merujuk tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas 300 naskhah Bible berbahasa Melayu pada Januari lalu.

"Anda tidak ada hak berbuat sesuka hati hanya kerana mereka bukan daripada kalangan agama anda."
Mujahid memberitahu sehingga kini beliau sudah hadir di kira-kira 20 buah gereja bagi mempromosikan dialog antara agama. Lawatan beliau dicoret dalam bukunya "Berdialog dengan Gereja".

Ini berbeza dengan masa lalu apabila PAS dikenali dengan sikap konservatif dan hanya membawa isu berkisar pengundi Melayu. Mujahid berkata, PAS mendampingi gereja kerana enggan mendiam diri dan membiarkan "negara dihancurkan golongan jahil".
Memetik pemimpin hak asasi kulit hitam Amerika Syarikat, Martin Luther King Jr, yang berkata, “seseorang akan melupakan pihak lawan, tetapi mengingati sikap berdiam diri kawan", Mujahid berkata PAS akan dituduh kerana mendiamkan diri.

Pemimpin PAS itu bekata berikutan hubungan antara kaum di Malaysia terkesan akibat kontroversi kalimah Allah, beliau terus berdamping dengan bukan Islam kerana mahu "menjadi saksi akan tanda Tuhan".

"Sebagai ahli Parlimen, saya tidak boleh lari daripada menjadi seorang ahli politik, tetapi ini bukan soal politik dan saya tidak mengharapkan undi.
"Saya mahu menjadi saksi akan tanda Tuhan yang wujud di mana-mana. Ia juga wujud di dalam diri kita...kita berhimpun di sini, disatukan walaupun berbeza latar belakang, agama dan bangsa.
"Kita sudah pun menikmatinya sekarang jadi perlukah ia dihancurkan?" soal Mujahid, sambil menambah umat manusia diciptakan belainan kaum  supaya mereka boleh kenal antara satu sama lain.

Mujahid, yang mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam politik Islam berkata, sekiranya perbezaan dijadikan alasan untuk manusia bermusuh dan berperang, dunia akan berakhir dengan pembunuhan sesama manusia, hanya kerana perbezaan anutan mereka.

"Tuhan tidak mahu ini berlaku. Cuma segelintir daripada Perkasa dan Umno... jika mereka mahu engkar ketentuan Tuhan, biarkan.
"Mereka ini golongan yang tidak berguna yang cuba menyemarakkan kebencian antara kita semua. Biarkan mereka. Saya bercakap tentang suara Tuhan, bukan suara mereka. Pedulikan mereka."
Mujahid berkata tidak siapa yang boleh mengaku agama yang dianutinya lebih baik daripada agama orang lain.

Katanya, memadai manusia hidup sebagai hamba Tuhan yang baik, menerima dan mengiktiraf perbezaan, dan menyerahkan kepada Tuhan dalam membuat keputusan tentangnya.
Tambahnya, seseorang itu tidak boleh mempersoalkan dewa agama lain atau kepercayaan yang dianggap syirik oleh agamanya.

"Tuhan mengarahkan bahawa tidak sesiapa pun dibenarkan menghina dewa agama lain. Ada sebab mengapa Tuhan mengatakan sesuatu. Renungkanlah."
(IH/TMI)

1 comment:

Anonymous said...

Si kafir menyembah berhala adalah tanggungjawab dan kehendaknya sendiri, tiada paksaan dlm beragama.
Tp bolehkah umat Islam meredhakannya ?
Isu Kalimah pula bg saya, tindakan Dr Mujahid adalah bercanggah dgn keputusan Dewan Ulama' sendiri.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails