Wednesday, February 26, 2014

Dr Mujahid Di Iran: Sidang 2 Perkara..


TANDA nama Malaysia sebagai anggota tetap siap di tempatnya.  Dr Mujahid mengambil tempat duduk di sebelah, diapit oleh negara Oman dan Maghrib manakala di depannya ialah Mesir dan Indonesia.

Kertas sikap Malaysia dan cadangan tambahan berselerak di depannya, apatah lagi tajuk dialog tamadun dan antara agama sememangnya menjadi minat utamanya selama ini. Beliau juga adalah Pengerusi South East Asia Council Of Intereligios Networking For Peace.
Dr Mujahid (dua dari kiri) ketika mewakili Parlimen Malaysia  dalam sidang antarabangsa di Tehran.
Persidangan pun bermula...

Wakil Senegal dilantik menjadi pengerusi manakala pihak sekretariat sebagai setiausaha. Agenda mesyuarat ialah membaca draf resolusi dalam tiga bahagian iaitu  Budaya, Dialog dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah di mana ada 10 draf resolusi yang perlu dibaca dan diberikan persetujuan untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk lalu diadaptasi nanti dalam resolusi konferensi besar pada 18 dan 19 Februari nanti.

"Kami akan bahas dan jika ada poin baru untuk ditambah akan diberi peruntukan untuk dibaiki dalam deraf yang muktamad nanti." Jelas Dr Mujahid.

Topik perbincangan..

Pertama: Pandangan Tentang Iraq dan Syria.

Syria bukanlah anggota tetap jawatankuasa ini, mereka adalah anggota pemerhati begitu juga Iraq namun atas kepentingan isu mereka diberi ruang untuk bercakap dahulu. Kedua-dua negara ini bercakap tentang peranan beberapa negara Arab yang mendorong berlakunya suasana huru hara di negara masing-masing.

Kemasukan pejuang luar Syria dan luar Iraq dikaitkan mendapat sokongan kewangan dari Arab Saudi dan beberapa negara Teluk termasuk fatwa takfir dari Saudi yang menghalalkan darah sesama muslim menjadi tajuk perbahasan. Syria bercakap menggunkan teks manakala Iraq menuntut supaya draf resolusi memasukkan isu takfir dan campur tangan sebahagian Negara Teluk yang menyebabkan pembunuhan sesama muslim di kedua negara ini.

Dr Mujahid juga memberi pandangan..

"Saya bercakap kemudian dengan menjelaskan sikap Malaysia dalam hal hubungan antara agama dan realiti yang Malaysia hadapi berbeza dari negara Islam lain dari sudut komposisi.
"Saya menyatakan pengalaman Malaysia masih di tahap lebih baik dalam menguruskan hubungan ini dengan mengambil sikap terbuka walaupun tidak dinafikan ada pihak yang telah salah guna isu ini.
"Malaysia mencadangkan supaya sebab kepada keganasan antara agama dan kaum mesti diselesaikan juga melalui perundangan yang melibatkan hak kebebasan memberi pandangan dan kebebasan beragama."

"Negara OIC (Organization of Islamic Conference) perlu ada perundangan ini di sebalik pendekatan dialog yang melibatkan semua pihak.
"Saya berkongsi konsep Artikel 3 dan 11 yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk UNDHR dan resolusi PBB mengecam sebarang bentuk indiskrimanasi atas sebab agama."
Kata Dr Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Malaysia, dan Ahli Parlimen Malaysia.

Kedua: Perbahasan Wehdah Ummah

Pandangan Dr Mujahid telah dipersetujui oleh Oman, Iran dan Iraq  namun isu perbalahan antara mazhab dan sesama muslim tidak ditegaskan. Fatwa yang memudaratkan hubungan termasuk takfir perlu diberi perhatian dalam resolusi.

Dr Mujahid menambah..

"Saya menambah bahawa dialog antara mazhab juga penting dan semua ulama yang berpengaruh diminta untuk mengadakan pertemuan lalu semua pihak mengeluarkan sikap kedamaian yang dianjurkan Islam bagi melahirkan kesatuan tanpa mengira mazhab termasuk sunni ataupun syiah.
"Kesatuan Parlimen OIC mesti mendesak seruan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama bagi memberhentikan kegilaan membunuh sesama saudara muslim di Iraq dan Syria termasuk di Yaman.

"Jadi tambahan baru Malaysia ini bersesuaian dengan semangat wasatiyyah dan politik dialog telahpun dipanjangkan pada persada dunia Islam.
"Tiada bangkangan dan oleh kerana Iraq dan Syria bukan anggota tetap maka Malaysia meminta cadangan mereka secara bertulis untuk dimasukkan dalam draf akhir nanti bagi mewakili pandangan mereka.

"Alhamdulillah Malaysia juga memainkan peranan mendamaikan pandangan untuk dimurnikan selari dengan semangat Kesatuan Parlimen ini dan mencadangkan supaya diterima pandangan Iraq dan Syria dari Malaysia dengan tambahan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama untuk semangat wehdah ummah." Jelas Dr Mujahid.

Dr Mujahid pernah berada di Iran sebelum ini. Semasa umurnya 10 tahun dia berada di Iran bersama ayahnya yang menjadi duta Malaysia ke Iran. Katanya, beliau juga sering membuat persembahan budaya ketika majlis hari kebesaran negara Asean dan Malaysia mewakili anak-anak kedutaan dunia, waktu itu.

(Hasil temubual  melalui telefon Ibnu Hasyim dengan Dr Mujahid yang baru pulang dari Iran, sebentar tadi.)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?
 E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails