Thursday, February 27, 2014

S'ngor Mula Projek Horas, Selain 3 T/Jawab Sementara Langat 2 siap

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008. – Gambar Pejabat Menteri Besar Selangor, 26 Februari, 2014.  
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008. – Gambar Pejabat Menteri Besar Selangor, 26 Februari, 2014.

Kerajaan Selangor laksana tiga tanggungjawab utama sementara Langat 2 siap

Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan tiga tanggungjawab utama bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi sementara menunggu Loji Rawatan Air Langat 2 siap dibina, termasuk menjalankan program mitigasi dengan peruntukan RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata selain program itu, kerajaan negeri akan memulakan projek 'Hybrid Off River Augmentation System' (Horas) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari (MLD) atau tiga bilion liter, pada 2050.

"Majlis pecah tanah projek ini akan diadakan dalam tempoh dua minggu daripada sekarang. Selain itu, kerajaan negeri juga akan menurunkan peratusan air tidak berhasil (NRW) dari 33% kepada tahap yang lebih rendah dalam tempoh enam bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008.

Melalui MoU itu, kerajaan negeri akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) berkuat kuasa hari ini dan memastikan semua kelulusan dan kebenaran berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh MoU ditandatangani.

Sebagai tambahan, Kerajaan Persekutuan bersedia menyuntik dana tambahan untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

MoU itu juga membenarkan kerajaan negeri untuk mengemukakan tawaran kepada syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (Abaas).

Abdul Khalid berkata pengambilalihan empat syarikat konsesi berkenaan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dan keempat-empat syarikat itu akan diletakkan di bawah satu syarikat konsortium air di bawah Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) iaitu syarikat milik penuh kerajaan negeri.

"Pengambilalihan ini akan melibatkan pengambilalihan pegangan ekuiti serta tangggungjawab dan tidak melibatkan pemberhentian kakitangan bukan pengurusan.
"KDEB akan membayar RM9.65 bilion kepada pemegang saham empat syarikat konsesi terbabit manakala Kerajaan Persekutuan menyuntik RM2 bilion untuk membantu kerajaan negeri dalam urusan pengambialihan saham," katanya.

Abdul Khalid mengucapkan terima kasih kepada Kerajaanm Persekutuan dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili atas kerjasama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau berkata MoU itu tepat pada masanya ketika rakyat bergelut dengan krisis bekalan air.

"Ini jelas membuktikan industri air perlu distruktur semula supaya perkhidmatannya lebih cekap dan mampan dengan kadar tarif air yang munasabah," katanya. – Bernama,  26 Februari, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails