Abdul Fattah Mahmood
Datuk Abdul Fattah Mahmood

KOTA BHARU – Kerajaan negeri tetap bertegas untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen penjualan dan penggunaan shisha di mana-mana premis negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, arahan sedia ada itu diteruskan berikutan dengan maklumat yang diperolehi oleh pihak mufti negeri berkaitan salah laku perniagaan tersebut.

“Pihak kami sekarang masih menunggu kata putus mufti yang telah membuat keputusan bertulis kepada kerajaan negeri dan kementerian kesihatan.
“Maka kami ambil keputusan untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi perniagaan ini, kalau ada premis atau kedai-kedai yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan, tindakan mengikut Akta di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dikenakan, termasuklah dirampas,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Ketika ditanya mengenai hukum penggunaan shisha kepada orang Islam, beliau yang juga Adun Bukit Panau itu turut menjelaskan pihaknya masih menunggu keputusan Majlis Fatwa tentang jawapan persoalan tersebut.

“Saya tak boleh kata haram atau tidak, saya bukan mufti, hanya Mufti Perlis kata haram, tapi majlis fatwa lain belum beri maklum balas lagi, jadi kita tunggu sehingga keputusan rasmi dari kementerian kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah yang diambil Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri itu yang didakwa boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk dari merokok.

Selaras dengan itu juga CAP turut menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan fatwa untuk mengharamkan penggunaan bahan itu sepertimana rokok sebelum ini. Dalam perkembangan lain, beliau turut diminta mengulas tentang wabak denggi yang berpunca dari nyamuk Aedes yang kini dilaporkan semakin meningkat.

“Kita mesti sedar tentang penyakit ini terutamanya dari punca bagaimana ia boleh berlaku, lebih baik menggiatkan usaha untuk mendidik masyarakat terutamanya tentang bagaimana cara untuk kita menghindari dari membenihkan punca penyakit tersebut.
“Kita boleh lakukan pelbagai program kebersihan terutamanya gotong royong sama ada di rumah, tempat kerja dan sebagainya daripada hanya menerima saman dan kompaun yang dikeluarkan pihak penguatkuasa tentang kesalahan yang kita sendiri boleh elak,” katanya. (SH)