Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Akta Kesalahan  Keselamatan (Langkah-langkah Khas) tidak perlu kerana Parlimen Malaysia  telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan  dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada 2006.
Beliau berkata, akta baru ini sama dengan ISA yang terdedah kepada ruang penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.
"Walaupun  tempoh masa penahanan oleh polis telah dipendekkan dari 60 hari di  bawah ISA kepada 28 hari dan ia boleh dikaji semula setiap lima tahun  serta tidak dipakai melainkan pelanjutannya diluluskan oleh Parlimen,  namun terdapat beberapa masalah besar yang perlu ditimbulkan," kata  beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, tafsiran 'Kesalahan Keselamatan' itu terlalu luas dan samar.
"Penahanan  seseorang sehingga 28 hari tanpa dibawa ke mahkamah hanya atas dasar  syak wasangka bahawa seseorang itu terlibat dalam kesalahan keselamatan  akan membenarkan ruang penyalahgunaan kepada polis dan membawa kepada  penahanan sewenang-wenangnya sebelum siasatan benar-benar dilakukan,"  katanya yang ditemani Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution.
Tambahnya,  hak kepada polis untuk menangguhkan akses kepada peguam sehingga tidak  melebihi 48 jam juga membuka ruang penyalahgunaan kuasa.
Selain  itu katanya,penggunaan peralatan pengawasan elektronik walaupun  seseorang telah dibebaskan adalah bercanggah dengan hak kebebasan  bergerak dan privasi seseorang warganegara dan prinsip seseorang itu  dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
GMI juga mengingatkan rakyat bahawa ISA masih belum dimansuhkan dan tertakluk kepada kelulusan rang undang-undang baru.
"GMI  amat berharap akta baru tersebut didebatkan dengan sewajarnya di  Parlimen dengan mengambilkira pendirian GMI dan badan-badan hak asasi  antarabangsa," katanya. (Hrkh)

 
 

No comments:
Post a Comment