Sunday, April 15, 2012

Hapuskan Hutang 100% PTPTN -K/Pem. PAS K'tan



KL 15 Apr 12: Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan turut menyokong usaha menghapuskan hutang PTPTN oleh golongan mahasiswa kini bagi menuntut hak mereka di negara ini. Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata dengan kekayaan negara dari pelbagai hasil khususnya minyak, tidak ada sebab kerajaan tidak mampu menghapuskan PTPTN.

Ketika diminta mengulas perkara itu, beliau meminta kerajaan perbetulkan jumlah sebenar peruntukkan PTPTN sebanyak RM28 billion sahaja dan bukannya RM43 bilion sebagaimana yang didakwa Perdana Menteri.

“Kita merasa kecewa kes NFC dibiarkan begitu sahaja, tetapi kes PTPTN ini kerajaan masih berdegil sehingga tidak mahu mendengar suara mahasiswa,”ujarnya.

Bukan itu sahaja, beliau turut mempertikaikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli dalam kes MAS RM 589 juta dihapuskan. Hutang pelajar diburu sehingga hampir 400,000 orang disenarai hitam.

Sehingga kini mahasiswa masih berkhemah di Dataran Merdeka. Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu pada mulanya berkumpul di persekitaran Masjid Jamek Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo bermula semalam.

Pelbagai slogan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya, antaranya 'Hidup Mahasiswa', 'Jahanam Kapitalis', 'Najib Altantuya', 'Mansuh PTPTN', 'Bangkit Mahasiswa' sambil memegang pelbagai kain rentang.

Sebelum itu di Kota Bharu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian telah meluluskan usul tergempar menghapuskan hutang PTPTN pada mesyuarat agung kali ke-38, semalam. Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian mengusulkan menyokong penuh cadangan menghapuskan 100% pinjaman PTPTN dengan digantikan dengan mekanisma yang lebih sesuai.. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails