Dewan Pemudanya mencadangkan agar Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Kassim mengosongkan kerusi Yang Dipertua (YDP) MAINPP dalam kadar segera sama ada meletakkan jawatan atau menolak pelantikannya ke jawatan itu.
  Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Abdul Malik  dicadangkan berbuat demikian sementara menunggu perkenan Yang di-Pertuan  Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melantik Pesuruhjaya Pas Negeri  itu, Datuk Mohd Salleh Man bagi menggantikan beliau.
“Tindakan ini sangat wajar bagi menunjukkan sifat bertanggungjawab atas  kesilapan kerajaan negeri seperti yang diakui, di samping menambah  keyakinan rakyat dan kepercayaan pengundi terhadap janji pilihan raya  ketika pilihan raya kecil Permatang Pasir yang lalu.
“Ia juga akan menambah baik imej Abdul Malik selaku ahli Majlis  Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang diberi amanah portfolio agama,  sekali gus imej Pakatan Rakyat itu sendiri terutamanya di Pulau Pinang,”  katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Kerajaan Negeri mengakui telah melakukan kesilapan dengan  mencadangkan nama Abdul Malik sebagai YDP MAINPP walaupun sebelum ini  Pakatan Rakyat (PR) pernah berjanji akan menamakan Mohd Salleh.
Ini bermakna Kerajaan Negeri telah mempersembahkan dua nama calon YDP MAIPP secara serentak tetapi pada masa yang berlainan. Pada masa yang sama, nama Abdul Malik telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong  sebelum nama Mohd Salleh dipersembahkan.
Kesilapan ini telah diakui sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk  Dr Mansor Othman seperti yang dilaporkan media pada hari ini.
“Kerajaan Negeri juga difahamkan telah memohon menghadap Yang  di-Pertuan Agong  bagi menjelaskan kesilapan ini dan sedang menunggu  perkenan menghadap tersebut.
“Atas dasar semangat setia kawan Pakatan Rakyat yang diamalkan, Pas  Pulau Pinang turut memuji dan menghargai tindakan berani Kerajaan Negeri  Pulau Pinang mengakui kesilapan yang berlaku dalam isu ini,” katanya.
Afnan Hamimi berkata, inilah 'contoh hidup' dan menunjukkan slogan  'CAT- Cekap, Akauntabiliti dan Telus' bukan sahaja dilaungkan, bahkan  dipraktikkan serta tetap terus diamalkan walaupun kadangkala ia pahit.
Ujar beliau lagi, ia juga adalah selaras dengan tuntutan Islam supaya  kita mengakui kesilapan dan memohon maaf jika membuat sesuatu kesilapan. (IH)

 
 

No comments:
Post a Comment