Saturday, July 23, 2011

Tadbiran Najib Dingin, TERAJU Macam Kura-kura.




SHAH ALAM, 23 Julai 11: Sekumpulan ahli perniagaan Melayu hari ini secara terbuka mengecam pentadbiran Najib ‘dingin’ dalam melaksanakan inisiatif pro-Bumiputera sambil mendakwa Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bergerak terlalu perlahan sejak ia dilancarkan Februari lalu.

Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem), sebuah badan yang terdiri daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan ekonomi Melayu, mendakwa unit yang berusia enam bulan itu telah gagal membawa sebarang hasil dalam memperbaiki penyertaan Bumiputera dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan berbanding projek-projek yang dilancarkan oleh Pemandu.

“Pemandu dan Teraju tidak bergerak pada kelajuan yang sama. Teraju bergerak macam kura-kura,” kata Presiden Mapem Tan Sri Rozali Ismail kepada pemberita di sini hari ini.

“Ini sangat membimbangkan ... kami mahu mengambil bahagian dalam pertumubuhan ekonomi negara, kami mahu bersama Perdana Menteri membina negara ini, kami tidak mahu ketinggalan di belakang,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Mapem di sini hari ini.

Keadaan itu menurut beliau, akan menyebabkan jurang pendapatan ahli perniagaan antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera semakin melebar.

Pengkritik mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mencairkan Model Baru Ekonomi (MBE), yang diilhamkan oleh beliau sendiri, dengan mewujudkan Teraju, tetapi pegawai-pegawai pentadbirannya berkata ia perlu memandangkan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi masih kekal kecil.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Teraju akan menjadi pemangkin dalam usaha mentransformasi agenda pembangunan Bumiputera bagi memastikan keupayaan golongan itu mampu dilonjakkan ke tahap lebih tinggi. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails