Monday, July 18, 2011

Bersih 2.0, Najib, Nik Aziz, Yingluck -Tan Sri Abdullah Ahmad

Oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Tan Sri Abdullah Ahmad. Pernah jadi SU Politik PM Tun Razak, ditahan di bawah ISA semasa PM lain ambil alih (previously Editor-in-Chief of NST) was at the Malay ...)

Kulomnis Sinar Harin
7/17/2011 7:08:59 AM

NIAT baik tidak mesti membawa kita kejayaan apa lagi masuk syurga. Penguasaan ilmu lebih penting dari mengetahui tatabahasa! Sebaik-baiknya kedua-dua lah. Tanpa pengetahuan apa yang kita boleh tulis atau sampaikan walaupun bahasa/ejaan/idiom kita betul?

Ingatan saya cepat kembali pada tahun 1959: Tun Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan saya wartawan Straits Times Singapura bertugas di Kuala Lumpur. Sebelum pilihan raya umum 1959 – iaitu PRU pertama selepas merdeka; PRU pertama pernah berlaku di Tanah Melayu ialah tahun 1955 – Timbalan Perdana Menteri telah menolak cadangan dan desakan Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung yang berpengaruh itu agar Sultan Idris Training College (SITC) di Tanjung Malim dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti.

Sebabnya simple dan munasabah sungguhpun tidak bijak dari segi politik: mana boleh sebuah institusi rendah melatih guru-guru sekolah rendah atau primary schools dalam Bahasa Melayu menjelma sebagai institusi pengajian tinggi? Sistem pendidikan seperti tentera, perkhidmatan awam juga organisasi media bertata tingkat: dengan peringkat-peringkat kuasa, taraf – dari yang paling rendah hingga kepada yang tertinggi. Negara kita, seperti United Kingdom, tegas Speaking: ‘a hierachical society.’ Apa pun di mana pun: dari sekolah rendah ke sekolah menengah, menengah atas, kolej, universiti kolej, universiti dan akademi.

Di media – pemberita, ketua pemberita, penolong editor, pengarang, penulis lidah pengarang, ketua pengarang, pengarah urusan dan pengerusi. Zaman itu kita hanya ada dua tiga kerat saja pensyarah universiti anak Melayu antaranya Ungku Aziz. Mana bisa mahu ada sebuah universiti yang bahasa pengantarnya Bahasa Melayu? Syukur Alhamdulillah, sesudah lama diperjuangkan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akhirnya tertubuh atas kehendak Tun Razak (kerana desakan dan kepentingan politik bukan sebab pendidikan dalam Bahasa Melayu!).

Tunku Abdul Rahman dan Khir Johari tidak berapa senang tetapi turut kehendak Biro Politik UMNO yang berpengaruh dan berkuasa serta dipengerusikan oleh Tun Razak. Antara anggotanya yang terpenting ialah Tun Ismail dan Khir Johari. Tun Ismail, setelah berbincang empat mata dengan Tun Razak, menyokong pendirian Tun Razak. Lama setelah UKM berjaya barulah SITC dinaikkan tarafnya kepada universiti.

Antara akibatnya – menolak keinginan Kesatuan Guru-Guru Melayu – UMNO kalah teruk di Terengganu dan Kelantan di tangan Pas tahun 1959. Guru-guru Melayu di bawah kepimpinan Cikgu Mohd Nor Ahmad dari Pulau Pinang, majoriti tokoh UMNO yang terdiri dari guru ‘memberontak’ dalam pilhan raya itu. Ramai juga sebelum dan selepas pilihan raya itu berhijrah kepada Pas. Waktu penubuhan UKM dibincangkan dalam Biro Politik UMNO – Musa Hitam, setiausaha kerja UMNO dan saya sebagai setiausaha politik Tun Razak hadir atas nama jawatan – Tun Razak dan Tun Ismail tidak mahu peristiwa krisis antara UMNO dan guru-guru Melayu berulang maka penubuhan UKM direstui dan kerajaan diarah melaksananya secepat mungkin. Lagipun pada perkiraan Biro Politik masanya sudah sampai ‘dan kena’ kata orang Kelantan.

Ilmu kuasa – knowledge is power. Pengetahuan mesti dikejar. Madah Speaking: ‘good genes can give an edge, but the right learning/working environment benefits a man or a woman – gen yang baik menyumbang kepada kualiti yang diwarisi. Persekitaran pendidikan/tempat bekerja juga membantu...’

Dalam kolum saya, 21 Januari 2010, saya telah menggunakan istilah REALPOLITIK – sebutan real – pol – i – tik, asal bahasa Jerman yang telah lama diserap ke dalam Bahasa Inggeris ditukar oleh seorang penyunting (saya diberitahu seorang graduan sebuah universiti di utara tanah air) kepada realpolitics. REALPOLITIK (bukan realpolitics) bermakna kekuasaan bergantung semata-mata kepada kuasa totok dan keadaan masa, buka pada falsafah atau idealisme atau moral bagi mencapai kejayaan/matlamat. Minggu lepas kesalahan yang sama berulang.

Kata Speaking: ‘the same mistake was repeated!’ Yang jelas salah sebab keralatan saya sendiri ejaan ‘reconcilliation’ (salah) dalam kolum itu tidak pula dibetulkan padahal ejaan sebenar perkataan itu hanya satu L sahaja (reconciliation). Apa pun, kalau berwaswas, check lah; kalau tak tahu, tanyalah atau hubungi kolumnis atau rujuk pada fail lama atau kamus! Sesungguhnya kerja kuat, rajin membaca menyumbang kepada bakat.

Demonstrasi BERSIH telah selesai. Semua pihak mendakwa hajat masing-masing tercapai! Kalau saya Perdana Menteri walaupun minda cetek, saya akan melakukan perhitungan politik yang amat salah jika saya mengadakan PRU 13 secara terkejut atau snap polls. Apabila Parlimen dibubar hak mutlak PM (dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong). Adalah prerogatif Tuanku untuk memilih siapa perdana menteri dan bila Parlimen dibubarkan.

Siapa berjaya petang Sabtu 9 Julai akan ditentu oleh pengundi dalam pilihan raya umum sama da diadakan tahun depan atau 2013. Saya tidak jangka PRU 13 akan berlangsung pada 11.11.11 atau tahun ini. Perdana Menteri Najib bukan naif, bukan kavalier (tidak berfikir panjang); dia pemimpin yang berhati-hati seperti ayahnya dalam percaturan politik.

Tok Guru Nik Aziz menegaskan dia sokong Bersih dan sedia menunjangkan Bersih yang akan datang. Tambahnya, rakyat perlu diberi peluang dan kebebasan meluahkan perasaan tanpa sekatan. Bisa macam kita berlalu di Mekah dan Saudi Arabia, Tok Guru? Saya juga, seperti Tok Guru, mahu masuk syurga. Siang malam berdoa semoga dosa diampuni-Nya dan diberi pahala pada apa yang saya lakukan yang diperkenankan-Nya. Bagi mencapai keinginan ini kita mesti bersih peribadi, politik, pentadbiran kerajaan, agama, bisnes, media, urusan kewangan, pembahagian zakat hanya pada yang berhak.

Menunaikan semua perintah Allah termasuk amal jariah, meninggalkan wang dan harta untuk digunakan bagi pendidikan dan kesempurnaan hidup ummah. Ramai solat tetapi tidak ramai pula yang meninggalkan umpat mengumpat, caci mencaci, gosip, fitnah, hasad dengki, rasuah dan seks haram dan yang berpoligami pula jarang adil! Menipu, merompak, membunuh dan menafikan hak-hak rakyat berleluasa! Dan mempersekutukan Allah Taala!

Yingluck, bakal Perdana Menteri Thailand, belum disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan raya Thailand dia memenangi kerusi Parlimennya. Kita di Malaysia, si pemenang boleh tubuh kerajaan keesokan harinya! Baiknya kita! Di Thailand, walaupun Yingluck dan sekutunya, menang dan kontrol 3/5 anggota Parlimen yang berjumlah 500 itu belum dapat melakukannya. Perdana Menteri Thailand hanya boleh dilantik selepas Parlimen bersidang dan Speaker dipilih – kedua-dua memerlukan masa dua bulan setelah semua pemenang diperakui oleh SPR. Kita di Malaysia lantik PM dahulu. Speaker kemudian! Hebat dan untungnya kita!

Demokrasi ada berbagai bentuk – demokrasi berparlimen, demokrasi ala presidential dan demokrasi ala komunis; demokrasi ala Singapura, ala kita dan Thailand. Sebagai demokrat kita harus faham atas prinsip-prinsip demokrasi ala masing-masing kalau tidak jangan bertanding dalam pilihan raya yang diagak dan dilihat tidak telus serta adil!

(Diangkat dari Sinar Harian/IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails