Tuesday, July 19, 2011

Buaya Mengamuk 2,000 Berkurung, Penyelesaian?

SARATOK: Lebih 2,000 penghuni empat rumah panjang dan dua perkampungan di sepanjang Sungai Seblak, Kabong di sini, diarah menjalani perintah berkurung selama lima hari selepas pihak berkuasa membabitkan polis dan tentera menggerakkan operasi besar-besaran bermula semalam bagi memburu buaya ganas di sungai itu.

Arahan pihak berkuasa itu membabitkan penduduk Iban dan Melayu di kawasan berkenaan yang diminta menghentikan semua aktiviti di sungai bermula jam 4 petang sehingga 12 tengah malam sehingga Jumaat ini. Arahan itu bagi melicinkan operasi menangkap kira-kira 60 buaya ganas setiap satu berukuran 2.5 meter dan dikenal pasti mengancam keselamatan penduduk kawasan itu.

Ketua Penyelaras Operasi merangkap Pegawai Tadbir Kanan Pejabat Daerah Kabong, Nazari Bujang berkata, larangan turun ke sungai itu bertujuan memastikan keselamatan penduduk terjamin ketika operasi dijalankan. Menurutnya, arahan perintah berkurung itu dibuat kerana pihaknya bimbang kemungkinan penduduk terkena peluru sesat kerana anggota yang terbabit dalam operasi berkenaan akan melepaskan tembakan jika terserempak buaya dikenal pasti mampu mengancam nyawa.

“Memang kita akui sungai menjadi nadi utama kehidupan harian penduduk di kawasan itu, tetapi kami berharap sepanjang tempoh operasi, mereka mematuhi arahan supaya menghentikan sementara aktiviti di sungai.

“Jika penduduk mahu keluar ke pekan, mereka boleh menggunakan jalan darat dari Kampung Emplam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 8 pagi itu membabitkan 30 anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Berdasarkan rekod SFC, dianggarkan 300 buaya menghuni sungai berkenaan dan 60 daripadanya berukuran 2.5 meter panjang dan dikenal pasti mengancam keselamatan penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Lein berkata, operasi dilancarkan selepas beberapa kes serangan buaya terhadap penduduk berlaku di sungai berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, susulan itu, penduduk di tebing sungai merayu pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangkap buaya ganas di sungai itu bagi mengelak lebih ramai penduduk menjadi mangsa.

“Operasi dijalankan SFC bermula dari Roban hingga muara Sungai Seblak dan polis serta beberapa agensi lain turut membantu memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang gerakan dijalankan,” katanya. (myMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Soalnya, bagaimana cara penyelesaian masalah rakyat yang terlibat dengan perintah berkurung, hidup kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang?

2 comments:

Anonymous said...

Operasi tersebut sebenarnye atas permintaan org kpg tu sendiri. Mrk selalu di ancam buaya ganas yg telah meragut byk rakan2 mrk. Operasi cuma 5 hari je...Jika operasi mencapai matlamat, lepas tu tak le mrk rasa takut cari rezeki di sungai.

Anonymous said...

bila masa kais pagi makan pagi petang makan petang? saudara pernah ke sana? atau tinggal disana? kalau PAS mahu membantu orang iban tidak perlu buat pembangunan besar-besaran cukup buat kandang babi banyak2 bagi orang sana makan puas2. tak gitu?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails