Sunday, July 17, 2011

Kembali Mengambil Al-Quran & Al-Hadis -Agung


KL, 17 Julai 11: Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyeru umat Islam kembali mengambil Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber penyelesai masalah yang timbul dalam masyarakat.

Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah jika ada perselisihan pendapat dan sukar untuk mencari keputusan, Allah menggariskan agar al-Quran dan al-Sunnah dijadikan tempat rujukan seperti Firman-Nya di dalam Surah An-Nisa. Baginda menyarankan demikian ketika menyampaikan titah perasmian Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-53 yang bermula malam tadi hingga 23 Julai.

Majlis berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah. Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tuanku, Nur Zahirah turut berangkat. Majlis itu disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen ke seluruh negara.

"Beta percaya keamanan negara berkait rapat dengan perpaduan ummah, perkara ini ditunjukkan dengan kehancuran empayar-empayar hebat pada masa lampau akibat perlakuan rakyatnya yang tidak bersatu padu malah mengenepikan persefahaman dalam menjaga kemakmuran negara.

"Sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara.

"Inilah yang ingin beta tekankan supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar namun harus kita fahami ini bukanlah bermakna Islam menolak perbezaan pendapat kerana Islam mengharuskan kepelbagaian pendapat tentang sesuatu perkara untuk menghasilkan kebaikan," titah baginda. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails