Thursday, July 21, 2011

Drama Erma Fatima Cetuskan Fenomena Baru Filem?

Oleh Mohd Afiq Mohd Saleh
Mantan Presiden MPPMJ,
(Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan)

HALAMAN HIBURAN
Buang 'Pisang' Rosak Dalam Industri Filem.
Gambar: Erma Fatima

KETIKA drama ini dalam proses pembikinan, saya telah meletakkan harapan yang tinggi agar ia mampu mencetuskan fenomena baru dalam indusrti perfileman tanah air, lebih jauh daripada itu agar drama ini dapat menghidupkan biah Islam (suasana) yang baru dalam masyarakat yang semakin jauh dari agama.

Ternyata persepsi ini terpesong, selepas berkesempatan menonton 2 episod yang terawal, ramai di kalangan penonton terutama dari jurusan agama merungut dan mulai berang dengan hasil drama tersebut. Walaupun tidak sepatutnya ia (drama ini) dihukum dengan menyatakan keseluruhan filem tersebut dianggap sebagai negatif, tetapi persepsi orang ramai terhadap apa yang ditonjolkan di awal drama ini telah menimbulkan rasa kurang senang dengan cara pembawaannya.

Pada hemat saya, memaparkan adegan dengan tujuan menghidupkan jalan cerita yang seiring dengan suasana realiti memerlukan kepada beberapa penilaian yang teliti dan langkah berhati-hati. Tidak semua keaiban yang berlaku dalam masyarakat harus dipaparkan untuk tontonan umum lebih-lebih yang melibatkan sensitiviti agama.

Adegan seperti pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, selak-menyelak, bersentuhan dan lain-lain lagi ini boleh menimbulkan tanggapan yang buruk terhadap golongan agama. Barangkali pada pandangan penerbit filem perkara itu suatu yang biasa dan perlu untuk menghidupkan watak dan jalan cerita lalu mereka menganggap ianya sebagai isu yang kecil. Tetapi berbeza bagi golongan agama yang melihat ianya sebagai sisi yang salah dan memalukan, kerana ia telah membabitkan pandangan negatif masyarakat terhadap imej mereka.

Dalam kebanyakkan filem atau drama di Malaysia terutama drama yang ingin menampilkan jalan cerita yang berbentuk islamik, wujud beberapa kelemahan yang jarang diambil berat. Antaranya menonjolkan sesuatu watak dengan pembawaan yang ekstrem, menghidukan jalan cerita dengan suasana yang berlebih-lebihan. Watak ustaz digambarkan dengan seorang alim yang sentiasa memegang tasbih. Biah atau suasana (story board) yang ingin ditampilkan juga telah menggambarkan dengan keterlampauan.

Akhirnya, mereka yang jahil tentang Agama meletakkan persepsi bahawa inilah gambaran Islam yang sebenar sedangkan Islam tidaklah bersifat sedemikian.

Kritikan dan teguran ini dibuat bersama-sama beberapa penilaian selepas apa yang ditayangkan dalam dua episod terawal drama ini. Namun disertakan dengan cadangan dan alternatif sebagai langkah kecil untuk membantu industri perfileman tanah air:

1. Filem atau drama yang mahu mengetengahkan jalan cerita atau suasana sesuatu tempat, perlu dilantik seorang penasihat yang berpengalaman untuk membimbing jalan cerita tersebut agar tidak lari atau berlebihan daripada suasana realiti.

2. Walaupun apa yang berlaku di sekitar masyarakat itu dipandang sebagai realiti semasa, ia tidak semestinya perlu ditonjolkan kepada khalayak dengan pembawaan 100%. Produksi drama harus kreatif dalam pembikinan jalan cerita.

3. Isu sensitiviti dalam masyarakat harus diambil penting. Golongan majority yang berkelakuan baik, tidak seharusnya dihukum dengan sebahagian minority yang berkelakuan tidak baik. Persepsi dan pandangan masyarakat terhadap golongan Agama harus diambil kira terutamanya isu yang boleh menjejaskan imej dan keizzahan mereka.

Media massa adalah medium penyampaian yang terpenting di abad ini, seharusnya pihak yang diberi peluang dan ruang untuk menyampaikan sesuatu kepada khalayak menggunakan wasilah ini dengan sebaiknya, agar apa yang disampaikan dapat memberi manfaat dan mampu dicontohi. Jika baik yang dipaparkan kepada penonton maka baiklah yang akan diterima dan begitulah sebaliknya.

Sedikit sebanyak, sebagai seorang mahasiswa yang sedang menuntut di Jordan, saya sendiri merasakan sedikit tempias dan “bahang” daripada drama ini, tetapi saya sedaya upaya cuba memandangnya dengan penilaian yang positif.

Saya memuji Saudari Erma Fatima yang cuba mengetangahkan suatu kelainan dalam industri perfileman tanah air. Selapas Drama Nur Kasih yang telah menaikkan biah Islam di Malaysia, saya yakin drama Tahajjud Cinta hasil air tangan pengarah berbakat ini mampu menyuntik fenomena baru jika ia disunting dengan jalan cerita yang baik. Bagi saya beliau mengikuti kehendak filem kontemporari dalam masyarakat yang dahagakan filem berbentuk Islamik.

Saya tidak berhasrat membantah keseluruhan drama ini kerana ia tidak wajar dihukum hanya disebabkan “kerosakkan” yang sedikit. Tetapi besarlah harapan ini agar adegan yang telah ditonjolkan tersebut dapat diperbaiki pada masa akan datang dan sudi mendengar permohonan maaf daripada Saudari Erma Fatima. Setandan pisang tidak semuanya baik, tetapi “pisang” yang rosak harus lekas dibuang agar tidak memudhoratkan orang yang memakannya. Bagi saya beliau seorang yang profesional dan permohonan maaf ini tidak langsung menjejaskan imej beliau sebagai pengarah filem terkenal.

Akhir kata, saya mewakili mahasiswa Jordan mengharapkan satu perubahan dan penambah-baikkan dalam drama ini, kalaupun tidak semua memadailah dengan perubahan kecil yang boleh melegakan kami di sini. Mahasiswa Jordan tidaklah menuntut agar kami dipandang tinggi oleh masyarakat tetapi amatlah tidak wajar jika diaibkan dengan sedemikian rupa.

Industri filem Malaysia sudahpun terkenal dengan penghasilan drama dan filem yang berkualiti serta membangun setaraf dengan perfileman antarabangsa, lalu mereka harus mempunyai identiti tersendiri dalam menaikkan industri ini. Semoga industri perfileman tanah air terus maju dengan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang.

MOHD AFIQ MOHD SALEH,
Mantan Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)
2010/2011

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails