Friday, July 22, 2011

Drama 'Tahajjud Cinta' Hina Tudung?

HALAMAN HIBURAN

KL 22 Jul 11: Benarkah Drama 'Tahajjud Cinta' menghina wanita memakai tudung? Tahajjud cinta yang mula ditayangkan beberapa minggu lalu ternyata mendapat respons yang begitu baik dalam kalangan penonton setia slot Zehra di TV3.

Rata-rata meminati drama ini kerana mesej serta lambakan pelakon popular yang menghiasi sejam waktu siarannya. Namun, di celah-celah keriuhan memperkatakan keberanian pengarahannya membangkitkan isu wanita menerusi drama ini, ada juga pihak yang kurang senang dengan karya Eirma Fatima ini.

Buktinya, wujud laman sosial facebook yang menuntut agar drama ini dihentikan siarannya. Alasannya, drama ini menghina wanita bertudung khususnya kepada mereka yang berpurdah.

Menerusi laman sosial itu juga, Eirma, juga dikecam kerana menulis skrip yang menjurus kepada sikap tidak baik penghuni di sekolah pondok dengan mengetengahkan isu poligami serta penderaan dalam drama itu. Eirma turut memberikan reaksi berhubung isu itu menerusi laman twitter miliknya.

“Tahajjud Cinta ada 13 episod! Biar mereka lihat semua dan merangkum seluruh ketidakpuasan hati mereka. Saya jawab akan mengeruhkan lagi keadaan. Lebih baik berdiam kerana biarlah mereka melaungkan suara mereka. Saya akan jawab selepas episod 13,” tegasnya.

Eirma berkata, segala kenyataannya itu tidak berguna pada ketika ini memandangkan pihak yang menentang akan terus mempertahankan hak mereka.

“Saya hanya akan bercakap apabila keadaan reda. Sekarang api kemarahan sedang meluap-luap di pihak sana. Biarlah dulu. Tak guna saya mengeruhkan.

“Tak perlu saya komen. Takpelah! Biarlah mereka nak membantah. Mereka berhak. Akan sampai masanya saya akan bagi kenyataan saya pula,” katanya lagi.

Mengisahkan mengenai sahabat iaitu Citra Maisarah (Fazura), Seri (Fauziah Gous) tidak dapat lari dari cinta dan kasih sayang. Citra telah jatuh cinta dengan Azihan (Shah Jazle) seorang lelaki yang sangat berpegang teguh kepada agama. Emelda (kakak kepada Citra ) ada masalah dengan teman lelakinya dan dia sangat lemah untuk menghadapi masalah dalam percintaan.

Citra dan Seri pulang ke Malaysia dan Citra berjanji kepada dirinya untuk membela hak hak kaum wanita dari ditindas kaum lelaki. Citra ingin membuktikan kepada keluarganya untuk dia berjuang demi hak kaum wanita yang tertindas pada zaman sekarang ni. Citra ingin memperjuangkan hak kakaknya yang ditindas oleh abang iparnya.

Manakala, Seri pula jatuh cinta buat pertama kali tetapi entah bagaimana dia berkorban berkahwin dan menjadi isteri keempat kepada seorang ustaz iaitu ayah kepada Solahudin (Remy).

Dapatkah Citra dan Solahudin menyelamatkan Seri daripada menjadi isteri keempat. Solahudin tidak mahu menjadi anak derhaka. Sampai bila Solahudin sanggup melihat ayahnya hidup dalam kemungkaran, menggunakan agama untuk kepentingan nafsu. Saksikan kesudahan drama ini hanya di TV3 setiap Jumaat pada jam 9 malam. (IH)

Sebelum ini..

1 comment:

abah khalisha said...

kita tunggu sampai episod 13 nanti ye

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails