Wednesday, March 09, 2022

Umno yang menjatuhkan PM dari Bangsa Johor

 

"..bangsa Johor perlu keluar beramai-ramai pada 12 Mac 2022 dan menolak Umno yang mengkhianati bangsa Johor sebagai PM.."

PONTIAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencatat sejarah Malaysia menjadi antara Perdana Menteri (PM) daripada Bangsa Johor, namun beliau telah dijatuhkan oleh gerakan pemimpin Umno yang mempunyai agenda politik sendiri.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan ceramah penerangan sempena PRN Johor bersama para pimpinan BERSATU di DUN Benut, di sini malam tadi.

“Di mana maruah Bangsa Johor? Itu adalah peluang pertama bagi Bangsa Johor menjadi PM Malaysia. Tetapi, Umno yang disokong oleh orang Johor dan yang berkembang di Johor telah mengkhianati kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. 

“Kerana apa? Kerana mereka mempunyai agenda politik yang tersendiri. Maka, bangsa Johor perlu keluar beramai-ramai pada 12 Mac 2022 dan menolak Umno yang mengkhianati bangsa Johor sebagai PM,” ujarnya mengajak rakyat Johor merenung serius perkara itu.

Menurut Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, sepanjang 17 bulan Muhyiddin menerajui negara sebagai PM setelah peralihan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), tidak berlaku masalah dalam kepimpinannya.

Jelas beliau, walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dan sebagainya, namun pengalaman dan kebijaksanaan Muhyiddin telah berjaya melepasi setiap cabaran ketika itu.

Tetapi Umno katanya, telah menjaja slogan ‘Kerajaan Gagal’ hingga akhirnya parti itu telah bertindak menerusi beberapa Ahli Parlimennya menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin.

Umno juga ujarnya, telah menjadi kerajaan di Malaysia terutama di Johor selama lebih 60 tahun di mana rakyat boleh melihat sendiri sama ada baik, buruk, elok, bagus atau sebaliknya dalam tempoh tersebut.

Malah rakyat ucapnya, turut menyaksikan PH memerintah Malaysia selama 22 bulan yang ia adalah cara Allah S.W.T menunjukkan hakikat wujud di sebalik gabungan parti-parti tersebut iaitu PKR, DAP dan PAN.

“Kita percaya Bangsa Johor adalah rakyat yang jujur. Sewaktu menyokong Umno (dahulu), harapan rakyat tinggi tetapi perjuangan yang baik ini telah dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin Umno yang rakus terhadap kuasa dan tamak dengan kedudukan. 

“Oleh sebab itu, mereka mengadakan pilihan raya ini. Walaupun dari segi politiknya adalah tidak perlu. Mereka mengisytiharkan putus hubungan dengan PAS di Kelantan tanpa sebab. Mengapa? 

“Hal ini kerana kita mengetahui bahawa terdapat sebahagian pemimpin Umno yang ingin bertanding dan menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya. Itu sahaja,” bongkar beliau dalam ceramah turut dihadiri Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik tersebut.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat Johor sama-sama keluar pada 12 Mac nanti untuk mengundi PN dan tidak takut lagi membuat perubahan di dalam Negeri Johor dan mencipta sejarah politik tanah air sekali lagi.

Katanya, sebagaimana Umno lahir dan membesar di Johor, maka Bangsa Johor juga yang boleh mematikan atau menjatuhkan Umno di negeri ini. 

“Jadi, kita meminta supaya bangsa di Johor membuktikan kebolehan, kemampuan dan keberanian mereka untuk membuat perubahan. Jangan takut dan bimbang kerana insya-Allah Tan Sri Muhyiddin sudah dikenali dengan pengalamannya.

“(Beliau) menjadi Menteri Besar di Johor, Menteri Kabinet, Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri. Untuk memastikan hal ini mestilah menangkan PN di Johor. Kita membalas terhadap apa yang mereka lakukan di Melaka. 

“Orang Johor mampu membuat perubahan. Saya ingin melihat selepas 12 Mac, orang Johor menerima kerajaan yang baru insya-Allah di bawah panji atau lambang PN,” serunya. – HARAKAHDAILY 9/3/2022

Siri Analisis PRN Johor

  


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails