Thursday, March 10, 2022

Jangka hayat BN di garis penamat, -Rakyat Johor isyaratkan

 

YA BETUL, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang ada dosanya kepada Umno. Sebab itulah Umno beria berkomplot menjatuhkan beliau daripada menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Apakah beliau dikira berdosa kerana meluluskan Pakej-pakej membantu rakyat menghadapi wabak COVID-19 sebanyak RM850b melalui PRIHATIN sehingga PEMERKASA+?

Apakah beliau dikira berdosa kerana menghapuskan RM8.3b hutang-hutang Peneroka FELDA?

Apakah beliau dikira berdosa kerana menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 400,000 ketika pandemik melalui Majlis Pekerjaan Negara?

Jawapannya, tidak!

Beliau berdosa kepada Umno adalah kerana tidak mahu campur dalam urusan perbicaraan kes mahkamah pemimpin-pemimpin Umno!

Malam ini saya bersama-sama dengan gelombang rakyat Semerah yang bertekad untuk menolak Umno-BN pada PRN kali ini!

Terima kasih kepada pakcik-pakcik dan makcik-makcik serta anak-anak muda yang memeriahkan protes rakyat menolak BN dan PH pada malam ini.

Sambutan pada malam ini memang luar-luar biasa dan lain macam auranya. Ini juga adalah isyarat awal daripada rakyat Semerah bahawa jangka hayat politik BN kini sudah berada di garisan penamatnya.

Rakyat Malaysia pada hari ini ramai sudah matang dan celik dalam politik. Mereka telah merasai kepimpinan BN, kepimpinan PH dan juga kepimpinan PN mentadbir negara ini.

Ternyata PH telah menjadikan 22 bulan di era mereka itu sebagai mimpi ngeri yang tidak ingin diulangi lagi oleh rakyat Malaysia. Malaysia seperti telah hilang identiti dan tercalar imejnya angkara ‘kehebatan’ Kerajaan PH.

Umno pula, sedihnya mereka telah tergelincir daripada landasan agenda besar Penyatuan Ummah yang kita gagaskan bersama dalam Muafakat Nasional.

Mereka rakus dan tamak dengan kuasa politik serta gelojoh ingin menggunakan pengaruh kuasa politik sebagai ‘exit plan’ kepada perbicaraan kes pemimpin-pemimpin mereka. Mereka sebenarnya telah hilang kepercayaan kepada institusi kehakiman negara.

Rakyat Johor harus pilih yang terbaik! Pilih parti yang mempunyai integriti yang tinggi dan terbukti prihatin kepada keperluan rakyatnya.

Saya rayu kepada semua pengundi Bangsa Johor untuk keluar menunaikan tanggungjawab anda. Keluarlah mengundi, baliklah mengundi pada Sabtu ini, kita tamatkan riwayat parti-parti yang telah menggunakan rakyat untuk kepentingan mereka sendiri. Kita pilih yang berintegriti dan prihatin!

“Demi Bangsa Johor”
“Johor Undi PN”

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/3/2022

Siri Analisis PRN Johor

  


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails