Sunday, February 20, 2022

Unik, Kerusi panas 'kunci' perubahan. Ini, 10 kerusi..

 

Kerusi panas 'kunci' perubahan politik Johor

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai keunikan dan signifikan dengan hubungan federalisme antara Persekutuan dengan negeri memperlihatkan ketidakseragaman dalam kalangan gabungan parti memerintah tidak boleh dielakkan.

Realiti ini juga mewujudkan banyak 'kerusi panas' yang menjadi kunci dalam menyumbang perubahan politik Johor. Kerusi panas juga dikenali sebagai kerusi marginal yang menurut pengkaji pilihan raya seperti James Cornford dan Daniel Dorling, iaitu ahli akademik Sains Politik dan Geografi dari Universiti Newcastle serta Universiti Bristol, ia mempunyai kebarangkalian tinggi untuk bertukar tangan dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, perubahan itu bergantung sepenuhnya kepada gelagat pengundian pada hari mengundi. Selain itu, kerusi panas boleh didefinisikan sebagai kerusi dimenangi tipis di bawah jumlah seribu undi.

Disebabkan Malaysia mengguna pakai sistem pilihan raya first-past-the-post dengan calon bertanding dikira sebagai pemenang dengan hanya kelebihan, walaupun satu undi sahaja, posisi kerusi panas sangat kritikal.

Dalam PRN Johor, 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dikategorikan sebagai kerusi panas atau marginal seperti N1 Buloh Kasap, N3 Pemanis, N16 Sungai Balang, N17 Semerah, N22 Parit Raja, N24 Senggarang, N26 Machap, N27 Layang-Layang, N30 Paloh dan N56 Kukup.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Barisan Nasional (BN) memenangi enam daripada sepuluh kerusi panas berkenaan dengan majoriti undi tipis.

Namun, sama ada BN atau blok pembangkang lain mampu menguasai semua kerusi panas terbabit dalam PRN Johor bergantung sepenuhnya kepada beberapa faktor, tetapi perlu melihat dahulu kepada fenomena PRN Melaka pada tahun lalu.

Dalam PRN Melaka, ada sekurang-kurangnya sembilan kerusi panas dan BN memenangi semua kerusi berkenaan dengan sebahagiannya dimenangi dengan majoriti agak selesa, sekali gus menafikan prestasi pihak lawan.

Berbekalkan kejayaan yang dicatatkan di Melaka, kebarangkalian BN untuk mengulangi episod sama di Johor masih menimbulkan tanda tanya. Walaupun kerusi panas ini tidak menggambarkan perjalanan PRN Johor secara keseluruhannya, kejayaan prestasi bakal dipamerkan sedikit sebanyak akan mencorakkan naratif persaingan kepartian.

Ia juga dihujahkan bahawa krisis dalam gabungan kepartian berlaku sebelum ini melorongkan jalan ke arah perubahan status quo kerusi pilihan raya dan bakal mendatangkan implikasi politik ke atas kerusi panas marginal dikenal pasti.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengumumkan UMNO Jelebu akan dijadikan sebagai 'bapa angkat' kepada DUN Machap dan Layang-Layang, sekali gus memberikan isyarat BN mengambil serius akan kedudukan kerusi panas dalam PRN Johor. Cuma di sini, parti manakah dalam kalangan pembangkang dilihat sesuai untuk menawan semua kerusi panas ini?

Dari sudut BN, mereka mungkin tidak menghadapi masalah kerana bakal bertanding sendirian dan tekanan ke atas pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen dapat dikurangkan. Tambahan pula jika peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada dijangkakan, ia bakal memberikan kelebihan kepada BN.

Dari sudut pembangkang pula, ia agak berbeza. Gabungan parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dilihat agak sukar mendekati kerusi panas di atas beberapa faktor.

Pertama, blok pembangkang terpaksa melepaskan beberapa kerusi pernah ditandingi bagi membuka jalan kepada parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Kedua, pembabitan Perikatan Nasional (PN) dianggotai BERSATU dan PAS di kerusi panas berkenaan perlu diambil kira. Walaupun BN, BERSATU dan PAS masih lagi bersama pada peringkat pentadbiran Persekutuan, perkelahian politik sesama mereka dalam PRN Johor akan memberikan kesan terhadap percaturan kuasa pada peringkat negeri, sekali gus mempengaruhi mobilisasi blok pembangkang.

Dalam erti kata lain, kerusi panas yang akan dipertandingkan ini bakal menyaksikan kemajmukan calon daripada pelbagai parti dan ini dikhuatiri akan mengakibatkan perpecahan undi ketara dalam dalam kerangka etnisiti.

Tempoh berkempen dua minggu yang bakal menyusul ini, menjadi landasan sengit bagi parti bertanding. Oleh itu, BN tidak boleh lagi bergantung harap dengan feel good factor dikecapinya ketika dalam PRN Melaka kerana naratif politik tempatan perlu dibaca dengan intonasi global yang menjadikan orang ramai semakin celik dan peka terhadap sesuatu isu itu.

Ujian paling getir adalah bagi blok pembangkang PH kerana mereka perlu bekerja keras untuk mencatatkan prestasi lebih baik daripada PRN Melaka sebelum ini. Faktor seperti identifikasi kepartian juga boleh dijadikan sebagai pembolehubah utama untuk menentukan hala tuju kerusi panas ini, namun pertimbangan sosiopolitik lain seperti isu berbangkit pada peringkat Persekutuan juga tidak kurang pentingnya untuk disandarkan sebagai pemangkin yang akan mendorong pengundi untuk mempertaruhkan mandat mereka.

Atau apakah kunci kemenangan PRN Johor mungkin berada di tangan pengundi muda?

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Lihat seterusnya..
Siri Analisis PRN Johor

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails