Sunday, February 20, 2022

Mafia kuarantin hotel Indonesia

 

JAKARTA – Kementerian Pelancongan Indonesia sedang membanteras skim penipuan kuarantin hotel yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan warga tempatan, lapor stesen penyiaran ABC, kelmarin.

Kumpulan yang digelar mafia kuarantin itu menyasarkan pelancong asing yang tiba di republik itu dengan memanjangkan tempoh kuarantin wajib bagi mendapatkan bayaran tambahan. Menerusi skim ini, pelancong diberitahu pada akhir tempoh kuarantin hotel wajib mereka bahawa keputusan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) adalah positif dan terpaksa berpindah ke ‘hotel pengasingan’ baharu.

Di hotel baharu itu, pelancong akan dipaksa menandatangani dokumen yang memerlukan mereka membayar sendiri semua kos penginapan tambahan.  Meskipun mangsa tidak mempunyai sebarang gejala, kumpulan mafia ini tidak membenarkan mereka mendapatkan ujian PCR kedua sebagai pengesahan.

Menteri Pelancongan, Sandiaga Uno memaklumkan bahawa kerajaan Indonesia telah menetapkan peraturan dan piawaian baharu bagi menangani skim mafia kuarantin.

“Kementerian Pelancongan sedang menyiasat dan akan memberi hukuman berat kepada sesiapa yang melanggar peraturan kerajaan,” katanya.

Sandiaga memberikan amaran tersebut selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) memberi arahan segera agar polis menyiasat laporan negatif yang diterima daripada pelancong asing.

Susulan arahan Jokowi, pasukan polis telah mewujudkan pasukan khas untuk mengendalikan pengurusan pelancong asing sebaik mereka tiba di lapangan terbang hingga selamat tiba di hotel yang ditetapkan untuk menjalani kuarantin.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam permainan jahat kuarantin ini kerana tindakan mereka akan merosakkan imej baik negara di mata dunia,” kata jurucakap polis.

Jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia, Wiku Adisasmito, bagaimanapun menafikan tuduhan penipuan kuarantin hotel sambil menyelar bahawa media tidak sepatutnya  membesar-besarkan sesuatu isu tanpa bukti.

Kerajaan Indonesia menukar peraturan pada awal Februari untuk membolehkan pelancong mendapatkan ujian PCR kedua bebas selepas dakwaan beberapa keputusan adalah positif palsu yang menyebabkan pelancong perlu melanjutkan dan membayar lebih untuk penginapan hotel mereka. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails