Friday, February 25, 2022

TH diyakini kembali utuh di bawah teraju terkini

 


SATU demi satu penambahbaikan telah dilaksanakan ke atas Tabung Haji (TH) sejak berlakunya perubahan tampuk kerajaan. 

YB Menteri Senator Idris Ahmad, YB Dato’ Ustaz Ahmad Marzuk Shaary dan YB Senator Dato’ Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri merupakan antara insan yang banyak menyumbang dalam memastikan Tabung Haji ini diurus mengikut landasannya. 

Tabung Haji masih mampu untuk berdiri utuh sekalipun terpalit berbagai kontroversi penjualan aset dan ketirisan yang menyekat potensinya untuk bergerak lebih jauh. Benarlah, apabila amanah itu diserahkan kepada orang yang benar dan jujur, maka Allah akan bantu. 

Pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan Tabung Haji mampu berdiri dengan gah dan bersih daripada segala tuduhan. Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji yang diwujudkan bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji merupakan usaha yang wajar dipuji. 

Bermula dari pemilihan ahli jawatankuasa yang arif sehinggalah ke isu-isu yang dibangkitkan, kesemuanya diperhalusi demi memastikan penubuhan RCI ini mencapai matlamat penubuhannya dan memberi manfaat kepada rakyat. 

Inovasi baharu Tabung Haji seperti THijari Biz menjadi suatu inisiatif transformasi digital dalam menambah baik perkhidmatan talian dan proses kerja automasi supaya perkhidmatan Tabung Haji menjadi lebih cekap. Inisiatif ini menggalakkan lebih ramai pekerja daripada sektor swasta dan awam untuk membuka akaun Tabung Haji serta merealisasikan impian untuk menunaikan haji hanya melalui potongan gaji oleh majikan. 

Usaha murni perolehan semula aset yang dijual dan pertukaran Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji juga diyakini mampu pulihkan Tabung Haji dan meredakan keresahan rakyat, melegakan pendeposit Tabung Haji.

Sehingga kini, ternyata Tabung Haji masih mampu meneruskan kelangsungan operasi sekalipun dalam keadaan pandemik dan ketiadaan pelaksanaan ibadah haji oleh rakyat Malaysia selama 2 tahun. Semoga Tabung Haji dapat bergerak lebih maju dalam mencapai hasrat penubuhannya dan terus meningkatkan sosioekonomi umat Islam.

“Memacu Perpaduan”
“Islam Menyatukan Ummah”

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA – HARAKAHDAILY 25/2/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails