Saturday, February 26, 2022

Akan berlaku lonjakan undi kepada PN.. Terbaik!

 

1. Akan berlaku lonjakan undi kepada PN

JOHOR BAHRU: Setiausaha PAS Kawasan Sekijang, Normala Sudirman berharap Perikatan Nasional akan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Beliau optimis berlaku anjakan paradigma atau lonjakan undi yang memberikan laluan kemenangan kepada calon Perikatan Nasional.

“Saya harap N.04 akan dimenangi oleh calon Perikatan Nasional dan ini merupakan kali keempat saya bertanding dalam pilihan raya,” ujarnya yang merupakan calon Perikatan Nasional bagi DUN berkenaan.

Katanya, kali pertama beliau bertanding ialah pada Pilihan Raya Kecil Tenang dan kali keempat bertanding dalam pilihan raya umum DUN.

“Semoga Allah takdirkan kemenangan di DUN Kemelah,” katanya ketika ditemui selepas majlis taklimat kepada semua calon Perikatan Nasional daripada PAS untuk PRN kali ini yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Johor di sini, semalam.

Menurutnya, ramai yang mengatakan bahawa kebarangkalian laluan itu agak mudah kerana majoriti pengundi di DUN Kemelah itu adalah Melayu.

“Tentulah harapnya mengundi wakil Melayu Islam untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Johor, insya-Allah,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Mala.

Beliau mengharapkan para pengundi di DUN Kemelah dapat keluar mengundi sama ada undi pos, mengundi awal atau hari mengundi pada 12 Mac ini.

Ini, ujarnya kerana itulah satu-satunya platform untuk rakyat menentukan hala tuju kepimpinan yang akan mentadbir negeri Johor.

Normala juga berkata, pastinya ramai Melayu Islam sepatutnya mengimpikan suara wakil rakyat daripada golongan wanita atau kaum hawa untuk mengangkat martabat atau memperjuangkan kebajikan mereka khususnya di DUN Johor.

“Jadi sudah pastilah kita mengharapkan agar calon di Kemelah ini yang majoritinya adalah pengundi wanita lebih ramai daripada pengundi Melayu lelaki mampu membuat pilihan yang terbaik.

“Saya optimis bahawa insya-Allah berlaku anjakan paradigma ataupun satu lonjakan undi yang memberikan laluan mudah kepada calon Perikatan Nasional berdasarkan prestasi kepemimpinan negara yang ada sekarang dan ditambah laluan beberapa penjuru yang insya-Allah berpihak kepada Perikatan Nasional,” ujarnya. 26/2/2022

2. Penyelarasan agensi perkhidmatan sosial beri manfaat kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan penyelarasan agensi perkhidmatan antara kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah sangat penting dan akan memberi manfaat yang besar buat semua kumpulan sasar yang memerlukan.

Menurutnya, dengan itu segala bantuan dapat disalurkan kepada rakyat dengan cepat dan berkesan. Beliau menyatakan demikian menerusi laman Facebooknya susulan sesi libat urus bersama Agensi Sosial Peringkat Persekutuan Dan Negeri ke Pejabat Daerah Kluang, hari ini.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan pada hari ini berada di Pejabat Daerah Kluang, Johor bersama para pegawai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam membina kerjasama yang erat serta membentuk rangka kerjasama erat antara Agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Turut bersama beliau dalam sesi diskusi itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta wakil-wakil daripada JKM Johor, LPPKN Johor, Jabatan Pembangunan Wanita, Johor Bahru (JPW), Pejabat Daerah Kluang, Jabatan Penjara Kluang, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalthom, Kluang, PKMD Kluang, MAIJ Kluang serta Khidmat Malaysia bagi membincangkan isu-isu kebajikan rakyat khususnya di daerah Kluang.

Menurutnya lagi, beliau mengambil maklum isu-isu kebajikan yang diketengahkan dan pihak kementerian melalui jabatan dan agensi akan meneliti perkara yang dibangkitkan untuk tindakan sewajarnya.

“Besar harapan saya agar usahasama antara Kementerian dan kerajaan negeri yang dijalinkan ini dapat memberi manfaat buat semua kumpulan sasar KPWKM serta segala bantuan dapat disalurkan kepada rakyat dengan cepat dan berkesan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 20/2/2022

3. Pilih PN yang terbaik demi bangsa Johor – Kak Lah 

BATU PAHAT:
 Seluruh pengundi di Johor dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Senggarang khasnya diseru memilih calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini.

“Pengundi dan penduduk Senggarang khasnya, pilihlah Khairul Faizi Ahmad Kamil seorang calon yang cukup pengalamannya dan dikenali wibawa serta amanahnya,” kata Ahli Jawatankusa Kerja PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di hadapan Pejabat PAS Kawasan Batu Pahat sebelum bertolak mengiringi calon Perikatan Nasional bagi Dun Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil pagi ini.

“Nak lantik imam pun kita pilih terbaik wibawa, amanah dan saya yakin pemilihan Khairul Faizi ini yang tidak asing dengan rakyat di sini, ada pengalaman lima kali jadi  calon dan pengalaman luas di peringkat pusat,” kata beliau memberi keyakinan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pengundi di sini perlu memilih seorang wakil rakyat yang diyakini integriti.

Maka tambahnya calon PN adalah yang tepat dengan kehendak rakyat, diyakini kredibilitinya.

Sementara itu beliau menyeru pengundi di Johor melakar perubahan pada kali ini demi masa depan bangsa Johor.

Beliau juga menyeru anak muda yang buat pertama kali memilih agar menilai pemimpin yang benar-benar wibawa untuk menjadi wakil mereka pada kali ini.

“Pilihlah pemiimpin terbaik jangan salah pilih pimpin, ini adalah demi bemi bangsa Johor, jadi kita pilih PN,” katanya lagi.

Hadir sama mengiringi Khairul Faizi adakah Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Pahat, Ustaz Roslami Mohd Salleh yang turut membacakan doa sebelum berangkat ke Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat. – HARAKAHDAILY 26/2/2022

Lihat seterusnya..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails