Tuesday, February 22, 2022

Bantuan kemanusiaan M'sia ke Afghanistan & Idonesia.

 

1. Penerbangan khas bantuan kemanusiaan Malaysia berlepas ke Afghanistan

KUALA LUMPUR: Penerbangan khas membawa lima tan bantuan kemanusiaan Malaysia meliputi pelbagai bentuk barangan keperluan asas, berlepas ke Kabul, Afghanistan, hari ini.

Pesawat membawa bantuan susulan krisis kemanusiaan yang melanda Afghanistan itu, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Misi itu dilaksanakan Kementerian Luar dengan kerjasama sektor swasta, Golden Horses Digital Investment Bank, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Peace Mission (GPM) serta Buddha's Light International Association (BLIA).

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut hadir di lapangan terbang itu untuk menghantar misi kemanusiaan membabitkan 12 sukarelawan yang dijadualkan berlepas kira-kira 10 pagi tadi.

"Penerbangan khas itu akan singgah di Hyderabad, India, serta Islamabad, Pakistan, sebelum meneruskan perjalanan ke Kabul.

"Bantuan kemanusiaan seberat lima tan itu merangkumi pakaian musim sejuk, jaket, selimut, susu tepung dan barangan keperluan asas lain, akan dihantar kepada rakyat serta kanak-kanak Afghanistan yang memerlukan," menurut kenyataan itu.

GPM akan mengedarkan bantuan terbabit dengan kerjasama NGO tempatan Afghanistan, iaitu Ehsas Welfare & Social Service Organisation (EWSSO), Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).

"Bantuan kemanusiaan ini merupakan sumbangan rakyat Malaysia, yang diharap dapat meringankan penderitaan rakyat Afghanistan ketika musim sejuk sekarang," menurut kenyataan itu.

Taliban yang digulingkan pada 2001 oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, berkuasa semula di Afghanistan pada Ogos tahun lalu selepas pengunduran tentera AS serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan perjanjian 2020.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia belum membuat keputusan untuk mengiktiraf kerajaan Taliban dan mengambil pendekatan berhati-hati.

Dalam kenyataan itu, Wisma Putra turut menjelaskan bahawa NGO Malaysia sentiasa aktif menghulurkan bantuan kepada masyarakat, baik di dalam mahupun luar negara.

NGO seperti GPM, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muslim Care Malaysia (MCM), MERCY Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM), telah menjalankan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan.

"Terkini adalah BLIA dan akan diikuti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi menghulurkan bantuan kepada Afghanistan.

"Pusat Penyelidikan Dasar Ekonomi (CEPR) Malaysia turut bersedia menghulurkan bantuan, terutama dalam penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam berdasarkan perundangan syariah," menurut kenyataan itu lagi.

Pihak swasta, korporat dan institusi di Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran serta pengetahuan mereka dalam membantu membina dan membangun semula Afghanistan, antaranya dalam pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, perlombongan sumber mineral, telekomunikasi serta tenaga baharu.

"Atas semangat Keluarga Malaysia, misi bantuan kemanusiaan ini memperlihatkan solidariti rakyat Malaysia dengan rakyat Afghanistan, bertepatan budaya prihatin masyarakat majmuk Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama berganding bahu bekerjasama membantu rakyat Afghanistan yang dilanda kesengsaraan.

"Malaysia akan meneruskan usaha libat urus membina, di samping pembangunan modal insan kepada rakyat Afghanistan," katanya. – BERNAMA

2. Indonesia hantar makanan ke Afghanistan

JAKARTA: Indonesia dan India menyertai negara-negara lain dalam membantu rakyat Afghanistan menghadapi keadaan musim sejuk melampau dan kekurangan makanan.

Berikutan arahan Presiden Joko Widodo sebagai respons kepada keadaan yang semakin meruncing di Afghanistan, dua pesawat Garuda Indonesia yang membawa bantuan kemanusiaan, termasuk 65 tan makanan berlepas ke Kabul pada Ahad.

"Indonesia akan terus memperkukuh dan menyumbang ke arah diplomasi kemanusiaan. Bagi Indonesia, keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan," ciap Menteri Luar Retno Marsudi di Twitter.

Terdahulu, India menghantar dua tan ubat-ubatan penting ke Hospital Indira Gandhi di Kabul, bantuan peringkat ketiga yang dihantar ke negara itu sejak Disember 2021.

Negara itu menerbangkan ubat-ubatan melalui Dubai pada Jumaat lalu, kerana tiada penerbangan terus di antara India dan Afghanistan ketika ini, sebelum diserahkan kepada wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan membekalkan lebih banyak kumpulan bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada ubat-ubatan dan bijirin makanan kepada Afghanistan," lapor media dalam talian memetik kementerian hal ehwal luar India.

Bulan lalu, kerajaan India membenarkan penerbangan sewa khas yang mengangkut 1.6 tan ubat-ubatan dan pada 1 Jan menghantar 500,000 dos vaksin COVID-19 ke negara itu.

Kumpulan kemanusiaan bebas, ACAPS berkata, akses kepada perkhidmatan kesihatan sangat mencabar di Afghanistan.

Hampir 90 peratus daripada 2,300 kemudahan kesihatan ditutup selepas pengunduran tentera AS dan penguasaan Taliban ke atas negara itu pada 15 Ogos dan penggantungan bantuan penderma asing.

Data Bank Dunia menunjukkan bantuan asing pernah meliputi hampir 75 peratus daripada perbelanjaan awam Afghanistan.

Selepas 15 Ogos, AS membekukan lebih US$9 bilion dalam akaun Bank Pusat Afghan di AS, manakala pembiaya utama seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa turut menggantung pengeluarannya. – BERNAMA 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails