Friday, February 25, 2022

Benar hadir solat Jumaat tanpa dos penggalak

 

1. Terengganu benar hadir solat Jumaat tanpa dos penggalak

KUALA TERENGGANU: Jemaah yang lengkap dua dos vaksin diberi kebenaran hadir menunaikan solat Jumaat walaupun tanpa suntikan dos penggalak.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata walaupun dibenarkan, tetapi jemaah digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

"Kita masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada termasuk penjarakan antara jemaah dan mewajibkan setiap jemaah merekodkan butiran menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Jemaah juga diwajibkan merekodkan butiran peribadi termasuk menulis nombor telefon pada buku disediakan di pintu masuk masjid," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, jemaah yang belum mendapatkan dos penggalak dibenarkan hadir untuk menunaikan solat Jumaat, tetapi wajib lengkap dua dos.

"Setakat ini tiada arahan dikeluarkan hanya membenarkan jemaah dengan dos penggalak hadir menunaikan solat Jumaat.

"Kita masih mengguna pakai SOP terdahulu termasuk setiap jemaah perlu memakai pelitup muka ketika hadir untuk menunaikan solat Jumaat," katanya.

Mengulas kapasiti masjid, Shaikh Harun menjelaskan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah menitahkan semua masjid menyediakan kanopi mencukupi di ruang luar, termasuk di kawasan parkir masjid atau ruang kosong bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.

Katanya, masjid yang mempunyai ruang solat bertingkat juga sudah dititahkan dibuka dan digunakan sepenuhnya untuk kegunaan solat Jumaat.

"Mesyuarat khas MAIDAM kali pertama yang bersidang pada 11 Januari lalu mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju pengimbas suhu badan tidak diwajibkan.

"Tetapi semua jemaah diwajibkan merekodkan butiran dengan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau ditulis pada buku disediakan di pintu masuk masjid dan surau," katanya.

2. Sabah benar hadir solat di masjid tanpa dos penggalak

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mewajibkan pengambilan dos penggalak kepada individu yang mahu mengerjakan solat lima waktu berjemaah dan solat Jumaat di masjid atau surau.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata pihaknya hanya mewajibkan rakyat Sabah yang menerima dua dos vaksin COVID-19 memasuki masjid atau surau bagi melaksanakan solat berjemaah.

"Setakat ini kita tidak mewajibkan dos penggalak (sebagai syarat memasuki masjid atau surau) sebaliknya memadai hanya menerima dua dos lengkap vaksin sahaja.

"Bermaksud kalau belum menerima dos penggalak pun boleh masuk ke masjid," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, beliau turut memberitahu pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah untuk menambah kapasiti jemaah di masjid atau surau kepada 50 peratus.

Menurutnya, disebabkan terdapat peningkatan mendadak jumlah harian kes COVID-19 di Sabah baru-baru ini, satu pekeliling dikeluarkan yang menetapkan hanya 150 jemaah atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau bagi masjid negeri, masjid bandaraya, Masjid bahagian (Tawau dan Sandakan) dan masjid daerah.

Bagi masjid dan surau lain dihadkan maksimum 100 atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau.

"Kita telah bermesyuarat semalam dan mengemukakan cadangan supaya kapasiti masjid dan surau ditambah kepada 50 peratus.

"Walau bagaimanapun masih belum ada kata putus daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah dan kita juga masih menunggu," katanya.

Disamping itu, beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemantauan semula terhadap trend kes COVID-19 di Sabah berdasarkan perkembangan semasa.

Lihat seterusnya..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails