Thursday, February 24, 2022

Isu hijab pelajar Islam, pelakon India ditahan..

 

Chetan Kumar kini berada dalam tahanan polis Bengaluru gara-gara mengkritik kredibiliti Hakim Krishna Dixit berhubung kes tujuh pelajar Islam berhijab di sebuah kolej di Karnataka, India.

HALAMAN HIBURAN

“Hakim Krishna Dixit membuat komen yang membimbangkan dalam kes rogol (pada 2020). Kini hakim yang sama  sedang menentukan sama ada tudung boleh diterima atau tidak di sekolah kerajaan (di Karnataka). Adakah dia mempunyai kelayakan yang diperlukan?”

BENGALURU: Seorang pelakon India telah ditahan kerana menghantar tweet mengenai salah seorang hakim yang terbabit dalam perbicaraan mahkamah tentang isu larangan berhijab terhadap tujuh pelajar Islam di sebuah kolej di Karnataka.

Chetan Kumar yang menempah populariti menerusi filem pertama lakonannya, Aa Dinagalu, yang meraih kutipan pecah panggung pada tahun 2007 itu ditangkap oleh polis Bengaluru di Karnataka, selepas dia mengkritik Hakim Krishna Dixit.

Dalam tweetnya, Kumar, 38, yang sedang terbabit dengan pembikinan tiga filem terbaharunya, Maarga100 Crores dan DTS itu mempersoalkan tentang pembabitan Dixit dalam kes mahkamah terbaharu itu, sedangkan hakim berkenaan pernah membuat ‘komen yang mengganggu (perbicaraan mahkamah)’ dalam sebuah kes perbicaraan mahkamah lain pada masa lalu.

Kumar merujuk kepada kes perbicaraan mahkamah pada 2020 yang mana Dixit telah mempersoalkan tingkah laku seorang wanita yang  mendakwa dia dirogol sebagai ‘agak sukar dipercayai’.

Penahanan Kumar itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan motif di sebalik tindakan pihak polis Bengaluru itu.

Kumar yang merupakan seorang warganegara Amerika Syarikat dan sarjana Fullbright dari Oxford University, serta merupakan pensyarah ekonomi di Birkbeck University, United Kingdom sebelum ini cukup dikenali sebagai seorang aktivis hak asasi Dalit yang telah terlibat dalam beberapa protes anti sayap kanan kerajaan India di Karnataka.

Berkongsi tangkapan skrin pemerhatian tweetnya, Kumar menulis: “Hakim Krishna Dixit membuat komen yang membimbangkan dalam kes rogol (pada 2020). Kini hakim yang sama  sedang menentukan sama ada tudung boleh diterima atau tidak di sekolah kerajaan (di Karnataka). Adakah dia mempunyai kelayakan yang diperlukan?”

Pihak polis Bengaluru dalam kenyataan mereka pula mendakwa Kumar ditahan atas dakwaan  ‘dengan niat untuk menghasut komuniti untuk melakukan kesalahan’ dan ‘menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pelanggaran keamanan’, lapor  agensi berita ANI.

Polis menambah bahawa pelakon itu akan dihadapkan di hadapan majistret kehakiman, tetapi tidak menyatakan tarikh perbicaraan.

Sementara, The News Minutes melaporkan bahawa  isteri Kumar, Megha dalam sembang langsung di Facebook mendedahkan suaminya ‘telah hilang dari rumah’.

“Tiada siapa yang memaklumkan kami (mengenai penahanan Kumar), telefonnya dimatikan,” kongsi Megha dalam Facebooknya. 

Hakim Krishna Dixit diberi mandat oleh kerajaan India dalam perbicaraan mahkamah kes kontroversi tujuh pelajar bertudung yang dilarang memasuki ko mereka di Karnataka, India baru-baru ini.

Sehubungan itu, orang ramai melahirkan kritikan di media sosial terhadap penahanan Kumar itu. Wartawan kanan, Dilip Mandal melalui tweetnya, mempersoalkan kenapa Kumar harus dihukum kerana komen tweetnya itu.

Seorang lagi pengguna media sosial menyifatkan tindakan polis sebagai keterlaluan dan berkata India telah ‘mencapai titik terendah’ dengan penahanan Kumar itu.

Di India, kritikan terhadap badan kehakiman selalunya boleh menyebabkan seseorang individu dipenjarakan.

Pada 2021, agensi penyiasat tertinggi negara itu, CBI, menahan lima individu atas dakwaan membuat catatan menghina hakim dan badan mahkamah tinggi di platform media sosial.

India juga mempunyai beberapa undang-undang penghinaan mahkamah yang paling ketat di dunia. Pada 2020, peguam terkemuka India dan aktivis hak sivil, Prashant Bhushan didapati bersalah menghina mahkamah selepas Mahkamah Agung mendapati dua tweetnya bersifat menghina badan kehakiman negara itu. – BBC

Pelakon India ditahan kritik hakim isu hijab pelajar Islam.

Lihat seterusnya..
Siri Analisis PRN Johor

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails