Wednesday, February 23, 2022

Pelancong boleh ikut pengajian kitab di Pondok Kandis

 

BACHOK: Perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Pusat Pengajian Pondok di Kampung Telong Kandis sebagai lokasi pelancongan terjejas ekoran penularan Covid-19.

Ketua Pendaftar Pusat Pengajian Pondok Zamri Zahari berkata, pembinaan prasarana pelancongan terjejas hampir dua tahun kerana wabak tersebut.

Bagaimanapun katanya, empat rumah pondok untuk pengunjung sudah siap dibina, manakala dewan dalam proses pembinaan yang terbengkalai sebelum ini.

“Pembinaan pondok kediaman tersebut disumbang kerajaan negeri sebanyak RM100,000. Keseluruhan projek tersebut dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

“Insya-Allah dalam masa terdekat Majlis Daerah Bachok (MDB) akan membina beberapa lagi kemudahan lain,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan makanan dan kits Covid-19 kepada Pusat Pengajian Pondok semalam.

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Zamri juga berkata, pelancong yang datang boleh mengikuti pengajian kitab turath disampaikan guru-guru agama di pusat pengajian terbabit.

Katanya, pengunjung bukan sahaja boleh melancong, sebaliknya boleh mengikuti program ilmiah dengan mendalami pembelajaran agama.

Pusat Pengajian Pondok terletak di laluan utama ke Tok Bali dari Bachok. Di lokasi terbabit juga terdapat kampus Akademik Islam Universiti Malaya dan Pusat Penyelidikan Mardi. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails