Sunday, February 27, 2022

Tembung 7 penjuru & selamatkan Aqidah.

 


1. Pertembungan 7 penjuru persaingan sihat

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr Karim Deraman menganggap pertembungan tujuh penjuru di DUN itu sebagai satu persaingan sihat.

Katanya, situasi itu melambangkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara ini yang tidak menghalang atau mengehadkan jumlah parti untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Itulah demokrasinya, kita tidak menghalang atau tidak mengehadkan mana-mana parti (untuk bertanding), pada saya, itu satu pertandingan yang sihat.

“Insya-Allah, kita akan lakukan aktiviti terancang untuk kita memenangi hati rakyat di Tiram,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai menghadiri proses penamaan calon di Dewan Muafakat Johor Taman Desa Jaya, di sini, hari ini.

Ditanya, jika pertembungan tujuh penjuru itu mendebarkannya, kata Dr Karim, beliau tidak mempunyai sebarang masalah setakat ini.

Katanya, apa yang lebih penting adalah kesemua calon bertanding secara sihat. Beliau yakin setiap parti dan calon bertanding mahukan kemenangan, begitu juga pihaknya.

“Saya banyak terlibat dengan masyarakat semasa saya bekerja di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dahulu, saya terlibat dengan masyarakat tempatan, saya juga terlibat dalam masyarakat UTM.

“Jadi, memang sudah biasa (bermasyarakat) pada saya, Alhamdulillah yang terbaru saya dilantik sebagai penyelaras khas DUN Pekan Nenas dan saya boleh dikatakan 80 peratus saya sudah pusing kawasan itu dan Insya-Allah saya akan bawa (sikap itu) ke DUN Tiram,” katanya.

Kerusi DUN Tiram menyaksikan pertembungan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perikatan Nasional menampilkan Dr Karim Deraman daripada PAS yang merupakan mantan pensyarah Fizik di UTM, Skudai.

Enam calon lain adalah S Gopalakrishnan daripada PKR; Azizul Bachok (BN), Datuk Abdul Aziz Harun (Pejuang), Azmi Ali (Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan dua calon bebas, Bala Sundaram Perumal dan Jayasangkar AL Jeraman.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar yang mengambil bahagian dalam DUN Tiram adalah sebanyak 105,707 pengundi.

Pada PRU14, DUN Tiram dimenangi oleh calon PKR, S Gopalakrishnan dengan jumlah 26,573 undi, menewaskan Calon BN, Datuk Maulizan Bujang (18,475 undi) dan Calon PAS, Azman Atmim (5,366). – HARAKAHDAILY 26/02/2022

2. Selamatkan aqidah: Negara perlu bergerak ke arah pindaan Perlembagaan  

SEJAK ribuan tahun dahulu, negara ini dibina di atas kerangka hukum yang berteraskan konsep keadilan Islam, yang bersumberkan al-Quran, al-sunnah, ijma’ dan qiyas. Ia menjadi latar pembentukan negara, dalam semua cabang hukum kenegaraan, lantas berjaya membina satu tamadun Melayu-Islam dan memacukan kemakmuran masyarakat.

Undang-undang Melayu lama seperti Hukum Kanun Melaka (1450), Undang-Undang Laut Melaka (1400-1511), Undang- undang 99 Perak (1596), Undang-undang Kedah (837), Undang-undang Pahang (1572-1614) dan Undang-Undang Johor (1789) telah membuktikan bahawa hukum Islam, dengan penyesuaian hukum adat telah berjaya mengubah kehidupan masyarakat Melayu sejak dari kurun ke-14 sehingga kedatangan penjajah Inggeris.

Pengiktirafan turut diberikan kepada undang-undang Islam sebagai Law of the Land bagi negeri-negeri Melayu telah dibuktikan seperti dalam kes Ramah lwn Laton [1927]. Bahkan dalam kes Reg lwn Willans (1858), Hakim Maxwell telah menyokong Islam sebagai undang-undang tempatan serta mengiktiraf undang-undang Islam dengan memutuskan bahawa:

As a system of law which according to its own principles, can only be administered by Mohamedan Judges and Mohamedan arbitrators, upon the testimony of Mohamedan witnesses, is not a system which can devolve de jure and without express acceptance upon government and people of different faith.

Namun penjajahan Inggeris telah secara terancang berjaya menerapkan roh undang-undang Inggeris yang diimport dari Common Law, Kaedah Ekuiti dan statut pemakaian am (statute of general application), serta secara terancang mengenepikan dan memperkecilkan Undang-Undang Islam dari Undang-Undang Sivil, melalui pemakaian Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Civil Law Act 1956).

Kesannya sangat jelas dan menakutkan. Hukum Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah telah semakin terasing dan diperkecilkan peranannya dan dihadkan kepada perkara peribadi sahaja seperti perkahwinan, perceraian dan pewarisan sahaja.

Keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sangat mendukacitakan dan merobek hati umat Islam di Malaysia.

Sejak 2018, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi Mutho v. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018 3 CLJ 145), Panel 5 Hakim telah sebulat suara menafsirkan perkataan “parent” dalam Fasal (4) Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan sebagai Ibu dan bapa (bukan ibu atau bapa). Keputusan ini telah memberi kesan yang besar kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri dalam hal Kelayakan Untuk Memeluk Islam Bagi Kanak-Kanak di bawah umur atau belum mukallaf.

Pada 25.2021, Panel 9 Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra bin Mubarak -lwn- Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Negeri Selangor telah sebulat suara membatalkan Seksyen 28 Enakman Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi kesalahan liwat/persetubuhan luar tabii bagi penganut Islam, yang secara efektifnya akan memberi kesan terhadap semua kesalahan jenayah syariah terhadap perintah-perintah agama (against the precepts of Islam) sedia ada (yang telah lama digubal dan berkuatkuasa), selama mana ia boleh dikategorikan sebagai berada dalam kategori Klausa Pengecualian (Preclusion Clause – “except in regard to matters included in the Federal List”) Item I, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

21 Februari 2022 umat Islam di Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan keputusan sebulat suara Sembilan Panel Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum (Malaysia) (Sisters In Islam) v. Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Selangor, yang membenarkan permohonan Sisters In Islam untuk membatalkan Fatwa Negeri Selangor pada 17.7.2014 (yang memfatwakan bahawa SIS Forum (Malaysia) atau mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisma agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam), dan seterusnya memutuskan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, (pindaan 2015) sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Jelas sekali precedent perundangan terkini oleh mahkamah tertinggi di negara ini, semakin membuka ruang kepada serangan demi serangan litigasi strategik yang dilakukan oleh kumpulan tertentu untuk merungkai struktur asas perlembagaan, mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menggugatkan keharmonian negara.

Bahkan ia jelas mengundang ancaman besar terhadap Enakmen-Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri yang sedia ada di seluruh negara, merungkai bidang kuasa dan peranan Mahkamah Syariah, serta meragut dan merobek keupayaan dan kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal undang-undang yang berada di bawah bidang kuasanya, bahkan secara tidak langsung menyentuh kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

Justeru LUHAM menyeru kepada semua pemimpin politik Melayu dan Islam, merentasi semua latar politik, agar sama-sama berganding bahu untuk memulakan langkah yang besar untuk bergerak ke arah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengekang kesan yang terhasil dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang tersebut.

Wan Rohimi Wan Daud






LUHAM juga menyeru kerajaan-kerajaan negeri dan Pihak-Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menjadikan Agenda Menyelamatkan Aqidah Ummah sebagai Agenda Kerajaan, dimana fokus yang konsisten, bersepadu dan berterusan perlu disegerakan bagi mempertahankan kuasa-kuasa Ketua Agama Islam di Negeri-Negeri, kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal kesalahan-kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama, dan mempertahankan bidang kuasa dan peranan Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh negara.

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengerusi,
Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM)
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 23/2/2022

Lihat seterusnya..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails