Tuesday, March 01, 2022

Hikmah di sebalik peperangan & perluas pembangunan pendidikan.

 

1. Hikmah di sebalik peperangan

﴿فَهَزَمُوهُم بِإِذۡنِ ٱللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُۥدُ جَالُوتَ وَءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَعَلَّمَهُۥ مِمَّا يَشَآءُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٥١﴾

“Oleh sebab itu, mereka (tentera Talut) dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) berjaya membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmah (pangkat kenabian sesudah meninggalnya Talut) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya. Dan seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan sebahagiannya yang lain (yang beriman dan setia), nescaya rosak binasalah bumi ini. Akan tetapi, Allah sentiasa melimpah kurniaan-Nya kepada sekalian alam.” (Surah Ali ‘Imran: 251)

Al-Quran ialah petunjuk sepanjang zaman, termasuk cerita-cerita pada zaman dahulu yang dikisahkan dalamnya tetap menjadi iktibar kepada seluruh manusia. Seluruh cerita yang terkandung dalam al-Quran adalah benar, malah pengajarannya juga menunjukkan kekuasaan Allah SWT bagi menyelamatkan manusia dengan hukum-Nya yang tidak boleh dihalang oleh seluruh makhluk yang berlagak mereka itulah yang paling kuat dan berkuasa.

Walaupun perdamaian wajib diutamakan, tetapi sifat takabur Iblis yang masuk ke dalam diri kalangan manusia sehingga berlakunya sifat yang melampau itu terpaksa dihadapi dengan peperangan juga.

Hal ini sekali gus membatalkan teori ahli falsafah yang berfikir mahu menghapuskan peperangan sesama manusia. Hal ini demikian kerana, perkara tersebut hanyalah satu angan-angan kosong yang bertujuan ingin mengubah peraturan alam sebagaimana yang telah menjadi ketetapan Allah SWT.

Allah SWT menetapkan bahawa bagi menghadapi sikap melampau dalam kalangan manusia itu sendiri, maka ia akan ditolak oleh tindakan sesama manusia bagi membetulkan semula keadaan. Hal ini demikian kerana, terdapat dalam kalangan manusia yang bermaharajalela dengan nafsu apabila merasakan dirinya mempunyai kuasa yang paling kuat.

Lalu, akalnya ditinggalkan sehingga melaksanakan suatu bentuk undang-undang binatang di rimba, iaitu siapa yang kuat boleh melakukan apa sahaja terhadap orang lain. Akhirnya, keadaan ini diselesaikan dengan peperangan.

Selepas terungkainya negara Kesatuan Soviet (Soviet Union) pada akhir abad ke-20, muncul teori baharu yang dikemukakan oleh Prof. Francis Fukuyama. Antaranya ditegaskan oleh Fukuyama bahawa kuasa liberal kapitalisme sebagai satu-satunya kuasa tunggal yang sudah tidak boleh dicabar lagi, sehingga melupakan sama sekali kekuasaan Allah SWT yang tiada bandingan dan tandingan.

Perkara ini dinyatakan dalam buku karangannya ‘The End of History and Last Man’ yang didasarkan kepada artikelnya berjudul ‘The End Of History?’ dan ia ditulis untuk jurnal The National Interest pada 1989. Dalam artikel tersebut, Fukuyama berhujah bahawa legitimasi demokrasi liberal sebagai sistem pemerintahan telah meliputi seluruh dunia dalam beberapa tahun terakhir, mengatasi ideologi-ideologi lain seperti monarki, fasisme, dan komunisme. Adapun Islam tidak ada dalam senarainya.

Lebih daripada itu, Fukuyama juga berhujah bahawa demokrasi liberal merupakan titik akhir evolusi ideologi umat manusia (end point of mankind’s ideological evolution) dan bentuk akhir pemerintahan (final form of human government) dan kerana itu merupakan akhir daripada sejarah (end of history).

Bahkan, Fukuyama turut meramalkan sudah tiada lagi bentuk pertentangan ideologi-ideologi besar dalam akhir sejarah. Bentuk-bentuk pemerintahan sebelumnya mempunyai karakter yang penuh dengan kecacatan dan sudah tidak rasional lagi, sekali gus mengakibatkan keruntuhan bentuk pemerintahan tersebut.

Adapun bagi demokrasi liberal menurut Fukuyama, bebas daripada sebarang kontradiksi internal secara mendasar. Hal ini bukanlah bererti, demokrasi yang telah mapan hari ini sepertimana di Amerika Syarikat, Perancis atau Switzerland tidak memiliki sebarang masalah ketidakadilan dan masalah sosial yang serius.

Sebaliknya bagi Fukuyama, permasalahan yang menyentuh tentang ketidakadilan sosial merupakan implementasi yang tidak lengkap daripada prinsip kebebasan (liberty) dan persamaan (equality) dalam demokrasi liberal. Beberapa buah negara sekarang mungkin gagal untuk mencapai demokrasi liberal yang mapan, manakala negara lain mungkin jatuh misalnya dalam bentuk peraturan primitif yang lain sepertimana bentuk teokrasi dan diktator ketenteraan.

Blok Barat yang dikepalai oleh Amerika Syarikat telah mengisytiharkan orde baharu dunia (new world order), seolah-olah mereka sahaja yang berkuasa dan berlagak mahu menjadi kuasa besar tunggal. Maka, sekiranya muncul kuasa yang lain selain mereka, kuasa tersebut mestilah dihapuskan.

Sehinggakan, umat Islam dijadikan sasaran utama kerana ajarannya yang tidak mati sekalipun tidak mempunyai kerajaan yang bertaraf kuasa besar memayunginya. Malah, Islam dan umatnya terus difitnah sehingga mencipta wabak Islamofobia.

Serangan ke atas Iran dilakukan kerana negara itu bertukar menjadi sebuah Republik Islam selepas berlakunya revolusi yang berjaya menjatuhkan Shah Iran (Reza Shah Pahlavi). Dalam pada itu, negara Iraq dan Afghanistan pula dimomok sebagai negara yang menjadi sarang pengganas Islam.

Lantas, Barat mencatur berlakunya perang proksi di tanah air umat Islam yang dianggap menjadi pencabarnya tanpa mengira anutan politik mahupun mazhab. Kemudian, direkrutkan orang-orang yang ditipu dengan provokasi dan juga dibekalkan dengan senjata untuk mengganas, kemudiannya golongan itu wajib dihapuskan dari segi undang-undang antarabangsa ala rimba.

Namun, akhirnya mereka terpaksa berundur dari Afghanistan dan keadaan mereka yang semakin merosot di Iraq. Keadaan ini berlaku setelah mereka gagal menjatuhkan Republik Islam Iran, walaupun negara itu dijenamakan dengan Syiah.

Kini, muncul pula ‘Imarah Islamiyyah berjenama Sunni di Afghanistan yang didera tanpa diberikan pengiktirafan dan dibantu pula hanya atas nama kemanusiaan. Walau bagaimanapun, Islam tetap dihalang dan ditolak walaupun sudah melalui jalan demokrasi yang menjadi kebanggaan mereka.

Dunia dijadikan papan catur, dan mereka yang mempunyai hak untuk mengatur negara lain laksana buah catur dengan sokongan negara-negara sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara khadamnya seperti Israel dan lain-lain negara. Segala tindakan yang diambil terhadap mana-mana negara adalah atas nama menentang keganasan dengan cara yang lebih ganas tindakannya.

Termasuk juga negara bukan Islam yang dianggap menjadi ancaman kepada mereka seperti Rusia, China, Venezuela dan lain-lain. Negara-negara tersebut diasak supaya mengikut kemahuannya dan diletakkan mengikut percaturannya.

Langkah mutakhir mereka dengan menarik negara-negara Eropah Timur ke dalam pakatan NATO yang bersifat ketenteraan, pada masa yang sama mempersenjatai Ukraine serta menggamitnya agar bersama NATO adalah suatu bentuk provokasi. Apa yang dilakukan itu laksana menggerakkan beruang yang disangka tidur, tiba-tiba bangkit menggomolnya dengan rakus, lalu mencetuskan peperangan yang menemukan buku dengan ruas.

Apa yang berlaku adalah untuk menolak kerajaan yang melampau dengan kerajaan lain yang sepadan dengannya. Hal ini juga adalah untuk mengubah peta dunia yang dilakar mengikut kemahuan sebelah pihak sahaja.

Begitulah Allah yang Maha Berkuasa menolak apabila adanya yang berlagak menjadi kuasa tunggal yang bermahajalela sejak zaman dahulu kala. Sehinggakan, tiada kuasa besar yang boleh mengekalkan kedudukannya buat selama-lamanya, termasuklah juga kuasa kerajaan Islam apabila mereka berlagak dan tidak berlaku adil kepada seluruh manusia.

Setiap kali selepas solat ditunaikan, sering kali dibacakan firman Allah SWT:

﴿قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ٢٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah juga yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (26); Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah juga yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati, dan Engkaulah juga yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberikan rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki tanpa hitungan hisabnya (batasannya).’ (27)” (Surah Ali ‘Imran: 26-27)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Rajab 1443 / 28 Februari 2022

2. K’jaan perluas usaha pembangunan pendidikan Islam

PEMBANGUNAN pendidikan anak-anak umat Islam sentiasa menjadi tumpuan kerajaan, dalam hasrat melahirkan lebih ramai cendekiawan yang faqih dalam bidang agama. Dan usaha ini dilaksanakan merentasi setiap sempadan, baik di kota mahupun di desa.

Dalam rangka kerja lawatan ke Sabah bermula Khamis lepas, kami telah berpeluang merasmikan bangunan sekolah Maahad Tahfiz Al Quran Wadi Syuib, yang terletak di Kampung Boggaya Baru, Batu Sapi. 

Kagum melihat usaha para asatizah di sini dalam membangunkan institusi tahfiz di sini dalam memenuhi keperluan Pendidikan Al -Quran masyarakat setempat.

Maahad tahfiz ini telah dibina oleh penduduk kampung, dengan sokongan JAKIM dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sekong dan mula beroperasi sejak November lepas dengan 70 pelajar.

Pada majlis yang sama juga, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Tabung Musaadah JAKIM – YWM menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 150 keluarga dengan peruntukan sebanyak RM15,000.

Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah S.W.T dan kita terus dilindungi dari bahaya wabak COVID-19 yang belum berakhir.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 28/2/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails