Tuesday, March 01, 2022

Ke 5 termahal di dunia -Orkid Sabah. Tahniah penubuhan koperasi Balik Pulau, PP.

 


Orkid Sabah kelima termahal di dunia

Penapis Carian Berpandu

bunga orkid
pokok bunga
bunga paling
spesies orkid
tumbuhan
POKOK orkid mempunyai pelbagai spesies, aneka warna, bentuk, harum, tahan lama, unik dan pesona keindahannya menjadi penyeri laman serta ruang kediaman, selain penyumbang kepada industri tanaman hiasan di Malaysia.

Siapa sangka pokok orkid yang asalnya tumbuh liar di hutan mempunyai 1,001 macam manfaat, selain harganya ada yang mencecah hampir RM1 juta sepokok untuk spesies tertentu.

Malah, spesies keluarga orkid atau nama saintifiknya Orchidaceae juga mempunyai manfaat perubatan, meskipun tidak sepopular tumbuhan herba seperti Tongkat Ali mahupun Kacip Fatimah.

Ketika ini, terdapat sebanyak 25,000 hingga 35,000 spesies orkid dengan kira-kira 1,000 'genera' di seluruh dunia. 

Berdasarkan penyelidikan pakar orkid dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dianggarkan 1,026 spesies dalam 155 genera orkid terdapat di Semenanjung, dan 215 spesies adalah endemik.

Di Borneo, Sabah dan Sarawak termasuk Kalimantan serta Brunei mempunyai sekurang-kurangnya 3,000 spesies orkid yang bersamaan dengan 10 hingga 15 peratus orkid di seluruh dunia.

Kini juga lebih sejuta orkid hibrid ditanam di seluruh dunia dengan 120,000 didaftarkan di bawah Royal Horticultural Society (RHS), iaitu pertubuhan sah bagi pendaftaran hibrid orkid di United Kingdom.

Orkid bernilai tinggi

Pensyarah Jabatan Biologi Fakulti Sains UPM, Prof Dr Rusea Go, yang menjalankan kajian berkaitan orkid, berkata tumbuhan itu dikenali sejak berzaman sebagai tanaman hiasan sangat bernilai.

Kebanyakan spesies orkid liar dan hibrid menjadi produk pertanian dan holtikultur yang berharga tinggi.

"Yang menjadikan ia mahal adalah keistimewaan bentuk, warna dan jangka hayat bunganya yang panjang memberikan nilai estetika," katanya.

Rusea yang digelar 'Ratu Orkid', berkata kualiti orkid menjadikan tanaman industri itu sangat

menguntungkan.

Orkid spesies Dendrobium Metrium. - Foto/Ihsan UPM
Orkid spesies Dendrobium Metrium. - Foto/Ihsan UPM

Memberi contoh orkid bernilai tinggi adalah dari spesies Orkid Gold of Kinabalu atau nama saintifiknya Paphiopedilum Rothchildianum, menduduki tempat kelima dalam senarai orkid termahal dunia, iaitu berharga RM27,270 sepokok.

Mengapa ia sangat mahal? Kata beliau orkid yang terhadap di Sabah, dikatakan mengambil masa selama 15 tahun untuk mekar berbunga dan dipercayai tergolong dalam spesies di ambang kepupusan.

"Satu lagi spesies orkid liar yang dikenali sebagai "orkid selipar" (slipper orchid) yang endemik atau hanya boleh dijumpai di Sarawak iaitu Paphiopedillum Sanderianum juga sangat berharga selain permintaan tinggi terutama dalam kalangan pembiak orkid.

Spesies ini sangat terancam dan kini dilindungi di bawah ordinan konservasi Sarawak.

Harga orkid hampir RM1 juta sepokok

Bagi spesies orkid Shenzhen Nongke yang hanya ada di China dilaporkan dijual dengan harga £160,000 (RM912,484) sepokok yang mengambil masa lapan tahun penyelidikan oleh saintis di negara itu bagi mencipta bunganya yang cantik dan elegan.

Orkid dari genus Cymbidium itu dipercayai paling mahal di dunia, hanya mekar setiap empat hingga lima tahun sekali, selain ia melambangkan sosiobudaya negara China dan aroma yang wangi.

Orkid sebagai penyembuh pelbagai penyakit

Orkid juga digunakan sebagai ubat-ubatan tradisional dalam kalangan masyarakat di China dan Nepal sejak ribuan tahun lalu.

"Di Malaysia, terdapat beberapa spesies orkid boleh digunakan dalam perubatan tradisional. Sebagai contoh, Corymborkis Veratrifolia dikenali sebagai Hancing Ali digunakan untuk merawat penyakit pundi kencing.

"Selain itu, bahagian pseudobulb dan daun spesies Acriopsis Javanica dan Phalaenopsis Amabilis jika dihancurkan boleh dijadikan 'tuam' bagi melegakan sakit kepala dengan meletakkannya di dahi.

"Begitu juga dengan spesies Pseudobulb Calanthe Triplicata yang dihancurkan dan diperah jusnya, digunakan untuk menyembuhkan demam.

"Dendrobium Crumenatum yang dikenali sebagai orkid merpati juga boleh digunakan untuk merawat sakit kepala dengan meletakkan tuam dihasilkan daripada 'pseudobulb' di dahi," katanya.

Dijadikan sumber makanan

Rusea yang juga Profesor Taksonomi dan Konservasi Tumbuhan, berkata sesetengah spesies orkid boleh digunakan sebagai sumber makanan.

Antara ahli kumpulan Rusea Go ketika menjalankan kajian berkaitan orkid. - Foto/Ihsan UPM
Antara ahli kumpulan Rusea Go ketika menjalankan kajian berkaitan orkid. - Foto/Ihsan UPM

Buah dari spesies orkid, Vanilla Planifolia menjadi sumber utama inti pati 'vanilin' yang mempunyai aroma sedap dan digunakan sebagai perasa untuk pencuci mulut.

Di Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya lapan spesies vanilla termasuk dua spesies baharu, iaitu Vanilla Sanguineovenosa dan Vanilla Norashikiniana.

"Malangnya, setakat ini tiada spesies tempatan ditanam secara komersial untuk pengeluaran buah atau 'vanilin' walaupun beberapa spesies dari pemerhatian dan pengajian kami seperti Vanilla Griffithii, Vanilla Pilifera dan Vanilla Sanguinovenosa dilihat menghasilkan buah yang agak besar dan banyak dalam habitat semula jadi mereka.

"Buahnya juga dilaporkan manis dan boleh dimakan," katanya.

Unik orkid pada bunganya

Mungkin di kaca mata bukan penggemar orkid melihat tumbuhan itu tiada keistimewaan atau biasa sahaja, namun bagi 'pencinta' orkid mempunyai sisi berbeza.

Keunikan orkid adalah pada bunganya, sekali gus ciri-cirinya berbeza dengan tumbuhan lain.

Bunga orkid mempunyai kepelbagaian struktur unik (labellum) yang memudahkan pendebungaan spesies oleh pendebungan tertentu (kebiasaannya ialah tebuan atau lalat buah).

"Sesetengahnya hanya mengeluarkan sekuntum bunga bagi setiap satu tangkai orkid. Kadang-kadang memiliki lebih daripada 100 bunga pada satu tangkai.

"Selain itu, orkid mempunyai struktur yang diubahsuai daripada bahagian batang yang dipanggil 'pseudobulbs'. Struktur ini adalah organ penyimpanan air dan nutrien," katanya.

Habitat orkid

Mengenai habitat orkid, ia adalah tumbuhan yang dijumpai di seluruh dunia kecuali di kawasan paling sejuk dan paling kering.

Orkid kebiasaannya terdapat dalam keadaan habitat yang lembap seperti di kawasan tropika dengan taburan hujan tahunan tinggi serta tanpa banyak variasi atau perbezaan musim sepanjang tahun.

"Jenis habitat orkid sebenarnya mempunyai sebaran yang meluas dan pelbagai. Orkid boleh tumbuh di kawasan hutan dari paras laut sehingga ke hutan pergunungan".

"Orkid boleh didapati di hutan hujan, hutan monsun, savannah, hutan bakau, hutan paya, hutan batu kapur dan hutan batu yang lembap serta di kawasan pinggir aliran air gunung.

"Orkid boleh dikelompokkan mengikut cara mereka mendapatkan nutrien iaitu epifit (tumbuh atau melekat di pokok), terrestrial (tumbuh di tanah) dan 'mycoheterotroph' (orkid tanah yang tumbuh simbiotik dengan fungi dan tidak berdaun), litofitik (tumbuh atas batu) dan reofitik (tumbuhan akuatik hidup dalam sungai yang arus air bergerak pantas)," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah. Blog ini mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada sekumpulan pengusaha-pengusaha rakyat Pulau Pinang di Balik Pulau, yang baru-baru ini menubuhkan sebuah koperasi.

Koperasi ini..

(i) Sedang mengusahakan dan menyebarkan tanamam pokok-pokok hiasan untuk di pasarkan.

(ii) Sedang mengusahakan penternakan 'ikan belut' di kawasan Balik Pulau.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails