Monday, February 28, 2022

SPRM buat permohonan ke DOJ AS

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan bagi mendapatkan maklumat daripada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS), berkaitan bekas eksekutif bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner.

Sumber memaklumkan, maklumat itu bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan.

Ini selepas Leissner mendakwa diugut Rohana yang dikatakan pernah mempunyai hubungan dengannya, untuk membelikannya sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM42 juta) di London.

Beliau mengeluarkan dakwaan itu ketika memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, AS dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya, Roger Ng berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB), awal minggu ini.

Sumber SPRM memaklumkan, satu permohonan akan dikemukakan kepada DOJ AS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan Leissner itu.

Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan dengan Rohana.

Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner berkata, hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.

Hubungan mereka kemudian berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee Simmons.

Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterimanya ketika bekerja dengan 1MDB dan mengakui berbuat demikian, malah membelikan kekasihnya rumah pada 2013 selepas Rohana mengancam mendedahkan pembabitannya dalam 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan SPRM kini mengkaji maklumat dan butiran daripada rakaman percakapan Rohana selepas beliau dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan, kelmarin.

"Buat masa ini belum ada individu lain yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu," katanya.

Rohana dipanggil bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Berikutan siasatan yang dijalankan, SPRM mengeluarkan perintah pembekuan aset dan akaun bank milik Rohana mengikut Seksyen 44 AMLA 2001.

Perintah pembekuan itu sekali gus melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi membabitkan rumah dan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).

Lihat seterusnya..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails