Thursday, March 03, 2022

Tahniah PM berbahasa Melayu di pentas antarabangsa

 


'Setelah sekian lama, sejak selepas negara merdeka, ramai pegawai-pegawai kerajaan di semua peringkat, akan berbahasa ‘omputih’  apabila bermesyuarat.'

SAYA cukup yakin, rakyat negara ini amat berbangga dengan keberanian dan tekad yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Bukan sahaja dalam negara, tetapi juga telah dibuktikan apabila beliau berucap dalam majlis Antarabangsa.

YAB Perdana Menteri telah menggunakan Bahasa Melayu ketika sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha pada Majlis Sambutan Rasmi Lawatan Perdana Menteri di Government House beberapa hari lepas sempena lawatan rasmi ke Bangkok bermula 24 hingga 26 Februari 2022.

Saya terpana seketika dengan kata-kata beliau, “Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu. Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu. Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan, kita bertanggungjawab memperkasa Bahasa Melayu”.Tahniah Dato’ Sri!

Perkara ini selaras dengan saranan Perdana Menteri sendiri pada 28 November 2021 lalu semasa beliau menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan penggunaan Bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Ini ternyata amat bagus sekali. Setelah sekian lama, sejak selepas negara merdeka, ramai pegawai-pegawai kerajaan di semua peringkat, akan berbahasa ‘omputih’ apabila bermesyuarat. Apatah lagi syarikat-syarikat korporat yang mahu menjaga imej kononnya moden dan maju seperti orang Barat, sudah pasti akan ‘speaking’. Justeru, teguran YAB Perdana Menteri cukup bermakna.

Kita di rantau ini memiliki penduduk ASEAN paling banyak menggunakan Bahasa Melayu dan YAB Perdana Menteri juga tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti, ia boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

“Perkara ini mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa depan,” katanya.

Pengalaman Kelantan

Kami di Kelantan sejak dahulu memang menggunakan Bahasa Melayu dalam semua majlis rasmi kerajaan, mesyuarat di segenap peringkat dan sambutan acara-acara utama dalam negeri. Bahkan kami juga memartabatkan semula tulisan Jawi apabila banyak minit mesyuarat ditulis dan dicatat dalam Jawi!

Turun pula ke lapangan, kedai kedai kopi, pasar besar dan di mana sahaja dalam negeri kami, akan dapat ditemui masyarakat bukan-Melayu dari kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli yang amat fasih berbahasa Melayu. 

Bukan setakat fasih, tetapi bercakap pula dalam dialek Kelate! Itulah dia lambang kepada integrasi kaum yang harmoni dan menjunjung tinggi martabat Bahasa Kebangsaan di Kelantan. 

Apapun, tahniah kepada Perdana Menteri daripada saya anak Kelate.

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 1/3/2022

Komen Weblog Ibnu HasyimTahniah PM, berbahasa Melayu di pentas antarabangsa. Kikis saki baki kalau ada otak mereka yang masih dijajah.

1 comment:

Anonymous said...

Jangan lupa yang mula berucap dalam bahasa melayu di pentas antara bangsa ialah tuan ibrahim tuan man dari pas dan yang kedua datok ismail sabri yaakob.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails