Thursday, March 10, 2022

Personaliti wanita contoh di Daerah Kuantan

 

TAHU tak Pegawai Daerah (DO) Kuantan seorang wanita? 

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 saya nak perkenalkan pimpinan wanita dalam pentadbiran kerajaan khususnya di Daerah Kuantan. 

Kalau ada yang belum tahu, orang nombor satu dalam pentadbiran Daerah Kuantan adalah seorang wanita. YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah. 

Selaku Pegawai Daerah, beliau mempengerusikan Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) yang menghimpunkan semua jabatan dan agensi kerajaan, beberapa GLC dan Ahli-ahli Dewan Negeri dan Parlimen dalam Daerah Kuantan. 

Selain beliau, ada beberapa lagi personaliti wanita yang mengetuai pentadbiran jabatan kerajaan di peringkat daerah. 

Antaranya, Puan Ir Azlizu Baharuddin, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Kuantan dan Puan Liana Mohamed, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan serta Puan Basyirah Zulkifli, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan. 

Ada lagi. 

Kapten Zaubidah Said, Pegawai Pertahanan Awam Daerah dan Puan Zubaidah Alias, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng. 

Mereka antara pimpinan wanita dalam pentadbiran awam yang saya ingat dan pernah berurusan berkaitan hal-hal kepentingan awam. 

Saya percaya ada ramai lagi wanita-wanita hebat dalam pentadbiran kerajaan di pelbagai peringkat, baik di daerah mahupun negeri. 

Walaupun tidak mengetuai jabatan, mereka menjadi tulang belakang kepada jentera pentadbiran awam dan sebilangan besarnya menjadi barisan hadapan kepada perkhidmatan awam. 

Selain pentadbiran awam, sudah pasti kita juga ada ramai personaliti dan tokoh wanita dalam pelbagai sektor atau bidang lain seperti keusahawanan, pendidikan, keagamaan, kemasyarakatan, pertubuhan sosial, sukan dan lain-lain. 

Tak perlu pergi jauh, di tempat kita DUN Beserah ini saya percaya ramai personaliti wanita yang boleh kita jadikan contoh. 

Kita akui peranan dan sumbangan para wanita kepada masyarakat dan negara tidak lagi terbatas di rumah sahaja. Sumbang bakti mereka wajar diiktiraf. 

Agama kita mengangkat martabat dan kehormatan wanita setinggi-tingginya dalam masyarakat. Kedatangan Islam mengubah tradisi dan pemikiran masyarakat jahiliah yang menjadikan wanita bagai warga kelas kedua. 

Islam mengajar kita bahawa wanita memiliki hak dan kehormatan yang perlu dipelihara. 

Selamat Hari Wanita Sedunia 2022 saya ucapkan buat seluruh kaum wanita di mana juga berada khususnya di DUN Beserah.

ANDANSURA RABU
ADUN Beserah
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 8/3/2022

1 comment:

Anonymous said...

Yaa..kami puas hati!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails