Thursday, September 17, 2020

SPRM! Burulah mereka hingga ke lubang cacing!

 


1. SPRM ambil dokumen dari pejabat tanah, hutan Raub kes ladang durian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil dokumen di beberapa agensi kerajaan untuk siasatan kes mengusahakan tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub, Pahang.

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki, berkata hingga kini SPRM sedang meneliti dokumen yang diambil dari Pejabat Hutan Daerah Raub serta Pejabat Tanah Daerah Raub untuk tindakan selanjutnya.

SPRM perlu mengkaji dokumen berkenaan kerana dakwaan itu harus dilihat daripada pelbagai sudut untuk melihat kemungkinan wujudnya elemen salah guna kuasa berhubung pencerobohan itu.

Hingga semalam katanya, seramai 18 individu sudah dipanggil dan dirakam percakapan dan pihaknya menjangkakan jumlahnya akan bertambah selepas ini.

"Sebelum ini kita sudah panggil 14 individu yang mengusahakan tanah terbabit dan hingga semalam ia bertambah kepada 18 dan mungkin hari ini lebih lagi.

"Mereka yang dipanggil ialah yang terbabit mengusahakan tanah di Raub itu untuk kita mendapatkan maklumat mengenai beberapa perkara.

"Dokumen yang kita peroleh itu untuk dikaji kerana isu ini perlu dilihat dari semua sudut untuk diketahui perkara sebenar, ...kita tidak boleh dengar dari sebelah pihak sahaja," katanya.

Sebelum ini, sebahagian Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras seluas kira-kira 4,400 hektar dibangunkan sebagai ladang durian haram sejak 40 tahun lalu.

Kegiatan itu menyebabkan kerajaan negeri kerugian hasil cukai sebanyak RM30 juta dalam tempoh 10 tahun.

2. Individu yang pernah dipanggil kes Dudley House akan didakwa - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi isyarat individu tertentu yang pernah dipanggil dalam siasatan kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) pada 2013 akan didakwa di mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata kes berkenaan kini dalam peringkat kajian pihak Pendakwa Raya sebelum pertuduhan di mahkamah boleh dibuat dalam masa terdekat ini.

Ketika ditanya lebih lanjut sama ada pendakwaan membabitkan individu kenamaan, beliau bagaimanapun hanya memberi bayangan bahawa 'siapa yang makan cili, dia yang terasa pedas'.

"Petunjuknya ialah siapa yang makan cili dia terasa pedas. Ia boleh jadi individu dikenali atau tidak dikenali, ...kepada mereka yang pernah disiasat dan dipanggil, mereka lebih tahu dan patut tahu (siapa yang akan dituduh).

"Saya tidak mahu bagi 'bayangan' dulu kerana perlu menghormati Jabatan Peguam Negara untuk menuduh sesiapa dan saya harap Peguam Negara bersetuju untuk mendakwa, ...jadi sabar dulu," katanya hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah di Australia membuat pendakwaan terhadap seorang warganegara negara itu yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.

Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam skandal penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya di Australia.

Pada masa sama, Azam berkata, pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan terhadap kes itu sejak ia dibuka pada 2015 namun kelewatan berlaku kerana SPRM perlu menghormati siasatan kes itu oleh pihak berkuasa di Australia.

SPRM berdepan sedikit kekangan kerana terpaksa memberi laluan kepada pihak Australian Federal Police (AFP) untuk menyelesaikan kes itu dahulu berikutan ia berlaku di negara itu.

"Tidak boleh menganggap kami simpan kes ini di bawah karpet, saya tidak pernah berkata begitu, ...kes ini masih aktif disiasat cuma kita ada berdepan sedikit kekangan dengan memberi laluan buat pihak AFP selesaikan kes ini dahulu.

"Ini kerana kes ini berlaku di Australia dan ia memerlukan beberapa keterangan relevan dari negara sana untuk digunakan di sini sebab ini membabitkan bantuan keterangan luar negara dan ia sudah tentu membabitkan pihak Peguam Negara di sebelah sana.

"Mereka mulai berkomunikasi balik dengan pegawai penyiasat kita untuk membantu kita membekalkan keterangan dan kita tunggu dan lihat di mana kes ini berakhir dalam tempoh terdekat, " katanya.

3. Kes pertama pendakwaan ikut Seksyen 10 (3) (b) Akta 711

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan syarikat akan didakwa di mahkamah esok kerana menyebabkan seorang kakitangan dipecat selepas memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya sudah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi.

"Tertuduh akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

"Tertuduh akan didakwa kerana menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM berkaitan salah laku yang dibuat oleh tertuduh," kata kenyataan itu.

Pertuduhan mengikut seksyen itu adalah yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010.

"SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu.

"Peruntukan undang-undang itu menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain di samping memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang memudaratkan," kata SPRM dalam kenyataan itu.

Oleh demikian, SPRM berkata ia tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat.

"SPRM berharap pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

"Pertuduhan berkaitan kes ini juga diharapkan dapat memberi pengajaran kepada pihak yang cuba mengenakan tindakan ke atas pemberi maklumat," kata kenyataan itu.

4. INFO: Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)

• Akta ini diluluskan oleh Parlimen pada 6 Mei 2010 dan dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama.

• Akta ini akan dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ) dan mana-mana agensi yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

• Objektif akta ini untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam bentuk sulit ke atas maklumat, imuniti dari tindakan sivil dan jenayah dan perlindungan ke atas tindakan yang memudaratkan yang diambil terhadap mereka.

• Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memperuntukkan perlindungan kepada pemberi maklumat yang secara sukarela tampil ke hadapan untuk membuat aduan atau mendedahkan maklumat mengenai aktiviti rasuah.

• Akta ini menggalakkan orang awam daripada semua sektor untuk mendedahkan aktiviti mengenai rasuah.

• Identiti pemberi maklumat dan maklumat yang diberikan disimpan secara sulit daripada mana-mana pihak.

• Pemberi maklumat juga diberikan imuniti daripada sebarang tindakan sivil, jenayah atau tindakan tatatertib oleh kerana mendedahkan perbuatan rasuah.

• Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat ini meliputi semua sektor awam dan swasta yang mendedahkan salah laku.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: SPRM, sila buru mereka hingga ke lubang cacing!

(IH)

Hibur Hibur Sikit
Baik didengar oleh perasuah-perasuah!!

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah SPRM diatas kerja2 mulia ini, heretlah mereka2 yang menyalahguna kuasa tanpa mengira siapa mereka kemuka pengadilan!

Tiada jalan mudah untuk menjadi kaya raya!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails