Wednesday, September 16, 2020

Sabah: Bertanding satu lawan satu..

 

Jentera Pilihan Raya PAS Sabah serlah kekuatan

KOTA KINABALU: Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Sabah telah dilancarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai persediaan menghadapi PRU15 di Hotel Raia, di sini semalam.

Pelancaran ini disempurnakan serentak dengan Himpunan Perdana Jentera Pilihan Raya PAS Sabah sempena gerak kerja Pilihan Raya Negeri Sabah yang sedang berlangsung kini dan akan membuang undi 26 September nanti.


Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar Dan Air ketika berucap mengingatkan jentera untuk menggerakkan tugasan pilihan raya serta menggiatkan penambahan ahli dan penubuhan Cawangan baharu di kawasan masing-masing.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 sangat hampir, walaupun kita tidak tanding PRN ini, tapi kita yakin untuk bertanding dalam PRU di Sabah, justeru persediaan perlu dibuat.

“Kesepakatan kita dengan Umno dan BERSATU ialah untuk bertanding satu lawan satu dan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” ujarnya ketika mengulas kesepakatan PAS bersama komponen Muafakat Nasional bagi menghadapi PRU15.

Beliau turut menyeru PAS di seluruh negeri untuk menggerakkan jentera masing-masing bagi memenangkan rakan muafakat termasuk PN, BN dan PBS yang bertanding dalam PRN ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Zuhdi Marsuki serta Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling. – HARAKAHDAILY 16/9/2020

Hibur Hibur Sikit

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails