Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, majoritinya beranggapan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan berikutan sebelum ini rakyat dimomokkan dengan jaminan SST boleh menurunkan harga barang.
Menurut beliau, sebaliknya apa yang berlaku semalam adalah kebanyakan barangan dan perkhidmatan didapati menjadi lebih mahal antaranya kad tambah nilai prabayar telefon, kereta serta makanan dan minuman di restoran.
“Ternyata pelaksanaan SST begitu tergesa-gesa tanpa kajian terperinci. Walaupun diletak pada kadar antara lima hingga 10 peratus, amat ketara kebanyakan barang keperluan asas dan tidak asas tetap dikenakan pada kadar yang sama iaitu 10 peratus.
“Berus gigi untuk kegunaan harian, air kotak teh bunga yang merupakan minuman rakyat kebanyakan dan warna air untuk kegunaan para pelajar dikenakan cukai 10 peratus sama dengan arak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, kerajaan memaklumkan bahawa senarai barangan yang dikenakan SST masih belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana beberapa pindaan mungkin terpaksa dilakukan bergantung kepada maklum balas yang diterima daripada orang ramai. - UTUSAN ONLINE