Saturday, January 03, 2015

Mahu Sertai IS, 2 DiTahan, Kenal Melalui Facebook. 51 Lagi Disiasat.



Kiri suspek lelaki, suspek wanita.

KUALA LUMPUR – Dua suspek termasuk seorang wanita ditahan polis Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dipercayai merancang untuk menyertai kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Terengganu ditahan pada Ahad lalu selepas disyaki merancang ke Syria untuk terlibat dalam serangan bunuh diri di negara itu.

Menurutnya, suspek merupakan pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Perlis dan dipercayai termakan pujukan anggota militan selepas dia berinteraksi melalui laman sosial Facebook dengan beberapa rakyat Malaysia dan warga asing yang kini berada di Syria.

“Suspek wanita berusia 27 tahun yang berasal dari Negeri Sembilan pula merupakan bekas pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lembah Klang dan ditahan pada 24 Disember lalu.
“Hasil siasatan dan risikan mendapati wanita berkenaan berinteraksi dengan anggota kumpulan IS yang dikenalinya melalui Facebook sejak pertengahan November lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Kedua-dua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VI A-Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Dengan penangkapan terbaharu itu, polis telah menahan 51 individu rakyat tempatan yang cuba menyertai atau membantu kumpulan militan IS.
 (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails