Monday, December 29, 2014

Mangsa banjir enam negeri meningkat lebih 225,000


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk pagi ini dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 151,072 orang manakala keadaan di lima negeri tidak banyak berubah dengan Selangor kembali dilanda banjir kilat.
  
Jumlah keseluruhan mangsa banjir di enam negeri terbabit kini ialah sebanyak 225,731 mangsa.
  
Terengganu mencatat sebanyak 33,260 mangsa, Pahang 33,225, Perak (7,813), Johor (328) dan Selangor 33 mangsa.
  
Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata mangsa banjir daripada 36,128 keluarga ditempatkan di 309 pusat pemindahan melibatkan lapan daerah.
  
Jajahan Kota Baharu masih mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 44,061 orang, Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan Pasir Puteh (192).
  
Di PAHANG, jumlah mangsa terus meningkat kepada 33,225 orang berbanding 31,095 mangsa semalam.
  
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, setakat 9 pagi ini, Temerloh kekal menjadi daerah mangsa banjir paling ramai iaitu 12,012 orang yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.
  
Enam daerah lain ialah Kuantan membabitkan 3,046 mangsa yang ditempatkan di 17 pusat pemindahan, Pekan (4,873 mangsa di 17 pusat pemindahan), Maran (3,479 mangsa di 33 pusat pemindahan), Jerantut (6,025 mangsa di 59 pusat pemindahan), Bera (1,491 mangsa di 14 pusat pemindahan) dan Lipis (2,299 mangsa di 31 pusat pemindahan).
  
Sehingga kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bagi laluan kedua-dua arah Kuantan-Kuala Lumpur dan jalan lama masih ditutup kepada lalu lintas.
  
Orang ramai yang menuju ke Kuantan dari Kuala Lumpur diminta menggunakan jalan alternatif melalui Seremban-Kuala Pilah-Serting-Muadzam Shah-Kuantan dan sebaliknya.
  
Di PERAK jumlah mangsa terus meingkat kepada 7,813 mangsa berbanding 7,539 mangsa malam tadi.
  
Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, kesemua mereka ditempatkan di 54 pusat pemindahan iaitu 22 di Kuala Kangsar, Perak Tengah (20), Hulu Perak (11) dan Kerian (satu).
  
Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir setakat ini adalah sebanyak 4,220 orang.
  
Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput mencatat jumlah mangsa banjir sebanyak 2,565 manakala di Hulu Perak sebanyak 738 dan Kerian (290) mangsa.
  
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,260 orang berbanding 36,210 malam tadi.
  
Di Kemaman masih tinggal 22,214 mangsa manakala hampir 3,000 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan air beransur surut.
  
Di Dungun masih terdapat 10,138 orang mangsa, Kuala Terengganu (759) orang dan Hulu Terengganu (149) mangsa.
  
Jumlah pusat pemindahan di Terengganu juga menurun daripada 88 malam tadi kepada 79 pagi ini, iaitu Dungun 34, Hulu Terengganu (empat), Kemaman (35) dan Kuala Terengganu (enam).
  
Sementara JOHOR mencatatkan sedikit penurunan mangsa banjir iaitu empat orang, dengan seramai 328 mangsa direkodkan pagi ini berbanding 332 mangsa malam tadi.
  
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, sembilan pusat pemindahan menempatkan 85 keluarga masih dibuka iaitu di satu di Muar, Batu Pahat (dua) dan masing-masing tiga di Segamat dan Kluang.
  
Jalan Kampung Asli Sedohok di Kahang, Kluang masih belum boleh dilalui, menurut pusat kawalan terbabit.
  
Sementara di SELANGOR, hujan lebat berterusan pada Sabtu lepas menyebabkan beberapa buah kampung di Klang, antaranya Kampung Budiman, Meru dan Kampung Sementa, Kapar mengalami banjir kilat melibatkan 33 mangsa.
  
Kesemua mangsa daripada sembilan keluarga itu ditempatkan di pusat penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai. - BERNAMA

Lihat liputan banjir..
E-Buku IH-96: Banjir Terbesar Dalam Sejarah M'sia.

  E-Buku IH-96: Banjir Terbesar Dalam Sejarah M'sia. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails