Sunday, December 28, 2014

Solat Tahajud Yang Indah (2)


SOLAT Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Firman Allah SWT.:

17:79
  •  “Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”  (Surah Isra’; ayat 79)
Rasulullah SAW bersabda:
  • “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”   (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.) 
Tujuan Solat Tahajjud 
  1. Sebagai tanda perhambaan kepada Allah SWT.
  2. Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya
  3. Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.
  4. Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.
  5. Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup. 
Cara Mendirikan Solat Tahajjud  
Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam. 
Rasulullah SAW telah bersabda, 
  • “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)  
1.  Sebelum mengerjakan Solat Tahajjud baca doa berikut :

Doa Sebelum Tahajjud

Ertinya:
Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau! Aku memohon ampun kepada-Mu bagi dosa-dosaku dan aku memohon kepada-Mu akan Rahmat-Mu. Ya Allah! Tambahkanlah padaku ilmu dan janganlah Engkau pesongkan hatiku setelah Engkau berikan petunjuk. Dan berikanlah aku Rahmat-Mu; Sesungguhnya Engkaulah yang melimpahkan rahmat! Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku dan kepada Nyalah tempatku kembali.

2.  Niat Solat Tahajjud:

 

 
(Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala)
Aku bersolat Sunat Tahajjud dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.

3.  Bacaan Surah selepas Al-Fatihah: 

a)  Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi  (7 kali)
      Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas  (11 kali)  Atau;
b)   Rakaat pertama: Ayat Al-Kaafirun
       Rakaat kedua: Surah Al-IkhlasAtau;
c)   10 Ayat Terakhir, Surah Al-Imran,.
      (Rasulullah SAW sering membaca ini pada solat Tahajjud beliau)

4. Selepas membaca tasbih pada sujud kedua dalam rakaat terakhir, bacalah doa berikut 3 kali:

 

doa sujud akhir tahajud

5.  Selesai salam solat Tahajud, bacalah doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW ini:

 


6.  Kemudian sambung baca Doa Solat Sunat Tahajjud berikut:

Doa Solat Sunat Tahajjud

Ertinya:
Ya Allah! Bagi-Mu segala puji-pujian. Engkaulah pendiri langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagi-Mulah segala pujian, Engkau Penguasa langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Dan bagiMulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya.

Bagi-Mulah segala pujian, Engkaulah yang benar (Al-haq), janji-Mu adalah benar, firman-Mu adalah benar, perjumpaan dengan-Mu adalah benar, syurga itu benar dan neraka adalah benar. Nabi-nabi itu benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar dan adanya hari Kiamat itu benar.

Ya Allah! Pada-Mulah daku menyerahkan diri, dengan-Mu daku beriman, kepada-Mu aku bertawakal, kepada-Mu aku kembali, dengan-Mu aku menghadapi musuh dan kepada-Mu aku berhukum. Ampunilah dosa kesalahanku yang telah lalu dan yang terkemudian, baik yang aku sembunyikan mahupun yang aku nyatakan, di mana Engkau lebih mengetahuinya. Engkau yang Maha Mendahului dan Maha Mengakhiri. Tiada Tuhan melainkan Engkau! Tiada padaku daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah!

Ya Allah! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebajikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.

Selawat Allah ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta para sahabat sekeliannya. Segala puji hanyalah untuk Allah; Tuhan Pemelihara seluruh alam!


Kelebihan tahajjud.
  1. Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.
  2. Doa dimakbulkan Allah.
  3. Memperolehi ketenangan jiwa.
  4. Merasai diri hampir kepada Allah SWT.
  5. Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.
  6. Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.
  7. Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.
  8. Mencegah dosa dan menghindari  penyakit.
  9. Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.
  10. Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.
  11. Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.
  12. Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.
  13. Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.
  14. Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.
  15. Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.
  16. Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
  17. Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.
  18. Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.
Bagaimana Mudahkan Bangun Solat Malam
  1. Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajjud.
  2. Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
  3. Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.
  4. Membaca ayat-ayat Al-Quran.
    Rasulullah SAW bersabda:
    • “Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangkit bagi mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, kemudian tidurnya terlajak sampai ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala, manakala tidurnya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya.”   (Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah r.a.)

      وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

      (IH)

      Sila lihat siri amalan ibadat..
      E-Buku IH-97: Siri Amalan Ibadah. Buat Sikit-sikit Dulu..
      E-Buku IH-97: Siri Amalan Ibadah. Buat Sikit-sikit Dulu..

      No comments:

      LinkWithin

      Related Posts with Thumbnails