Friday, January 02, 2015

Banjir Pulih, Jumlah Mangsa Terus Turun

Ribut tropika Jangmi lenyap sepenuhnya semalam - Jabatan Meteorologi
Ribut Tropika Jangmi yang berada di Laut Sulu dilaporkan lenyap sepenuhnya semalam, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan pagi ini, terus mencatat penurunan, iaitu kepada 84,575 orang berbanding 91,025 orang, malam tadi.
  
Keadaan banjir di Johor juga beransur baik dengan jumlah mangsa yang dipindahkan tidak berubah sejak tiga hari berturut-turut manakala di Sabah pula, beberapa buah kampung di daerah Kota Belud mula dinaiki air pagi tadi.
  
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir menurun kepada 28,087 orang pagi ini berbanding 30,309 orang malam tadi, di 153 pusat pemindahan.
  
Menurut jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, mangsa yang terdiri daripada 7,000 keluarga masih ditempatkan di 153 pusat pemindahan di tujuh jajahan.
  
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Tanah Merah adalah sebanyak 14,184 orang, Tumpat (976 orang), Kuala Krai (5,645 orang), Kota Baharu (1,440 orang), Machang (2,555 orang), Pasir Mas (281 orang), Gua Musang (3,006 orang).
  
Di TERENGGANU keadaan banjir di negeri itu semakin pulih apabila jumlah mangsa terus menurun mendadak kepada 4,359 orang pagi ini berbanding 7,940 malam tadi.
  
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, daripada jumlah itu, enam orang mangsa berada di pusat pemindahan di Kuala Terengganu, 2,917 orang di Dungun dan 1,436 orang di Kemaman.
  
Di PAHANG pula, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata jumlah mangsa banjir juga menurun sedikit pagi ini iaitu kepada 44,591 orang berbanding 45,366 malam tadi yang ditempatkan di 203 pusat pemindahan dari lapan daerah yang terlibat.
  
Jurucakap itu berkata daerah Temerloh menempatkan mangsa paling ramai iaitu 20,962 orang di 69 pusat pemindahan diikuti Pekan (10,964 orang di 36 pusat), Jerantut (4,549 orang, 38 pusat), Bera (3,303 orang, 19 pusat), Maran (2,454 orang, 21 pusat), Lipis (1,252 orang, 15 pusat), Kuantan (1,058 orang, empat pusat) dan Rompin (49 orang, satu pusat).
  
Sementara itu di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 7,400 mangsa daripada 2,017 keluarga berbanding 7,410 mangsa daripada 2,019 keluarga malam tadi yang ditempatkan di 53 pusat pemindahan di lima daerah.
  
Jurucakap MKN Perak berkata daerah Hilir Perak merupakan kawasan terbaharu yang dilanda banjir membabitkan kawasan di Teluk Intan iaitu seramai 39 mangsa daripada lapan keluarga.
    
Di Perak Tengah pula masih menempatkan mangsa paling ramai iaitu 5,221 mangsa, Kuala Kangsar (1,145 orang), Hulu Perak (765 orang), Kerian (104 orang) dan Manjung (126 orang).
  
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal sebanyak 138 orang, sejak tiga hari berturut-turut di dua daerah terjejas iaitu Segamat sebanyak 93 orang dan Batu Pahat, 45 orang.
    Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, walaupun cuaca cerah, jumlah itu tidak berubah memandangkan air lambat surut dan keadaan itu belum sesuai untuk membolehkan mangsa pulang ke rumah masing-masing.
  
Di SABAH, pusat pemindahan banjir di Dewan Tun Said di Kota Belud dibuka hari ini sebagai persediaan menerima mangsa banjir selepas beberapa buah kampung di daerah Kota Belud mula dinaiki air sejak pagi tadi.
  
Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton berkata setakat ini lima buah kampung dinaiki air berikutan limpahan air Sungai Lebak Moyoh yang kini mencecah paras bahaya 5.7 meter namun belum ada mangsa banjir yang dipindahkan.
  
"Pada jam 6 pagi tadi, paras air Sungai Lebak Moyoh adalah 5.4 meter dan meningkat mendadak kepada 5.7 meter. Agensi-agensi penyelamat sedang melakukan operasi tinjauan banjir dan penyelamat," katanya kepada Bernama.
  
Katanya Pusat Kawalan Operasi Banjir daerah juga sudah diaktifkan.
  
Sementara itu, jalan raya di Kampung Bobot, satu daripada laluan darat utama ke daerah di utara Sabah seperti Kudat, kini cuma boleh dilalui kenderaan berat selepas laluan itu dinaiki air kira-kira 0.5 meter. - BERNAMA


Lihat liputan banjir.. 
  E-Buku IH-96: Banjir Terbesar Dalam Sejarah M'sia.
  E-Buku IH-96: Banjir Terbesar Dalam Sejarah M'sia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails