Saturday, September 20, 2014

Terima Usul Tubuh Institusi Pemikiran TG Abdul Hadi


BATU PAHAT: Penubuhan Institusi Pemikiran Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah antara usul yang diterima tanpa bahas.

Usul-usul lain yang diterima tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Parit Salleh Ros, di sini ialah usul memperkasakan Islam daripada Dewan Ulamak PAS Pusat, Kembalikan Hak Wilayah Laut Negeri, Tolak Akta 750 dan Syarikat Penerbangan MAS daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Pemerkasaan DHPP dan Pengukuhan Sokongan Bukan Islam Kepada PAS daripada PAS Kawasan Hulu Langat, usul berkaitan menentang perkauman (asabiah) daripada PAS Kawasan Kelana Jaya dan usul agama (PAS Kawasan Dungun).
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

USUL MEMPERKASAKAN ISLAM
   
“Sesungguhnya agama (cara hidup yang diredhai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali Imran: Ayat 19)
           
“Dan sesiapa yang mencari agama (cara hidup) selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”                                  (Surah Ali Imran: Ayat 85)
Bertolak daripada ayat-ayat di atas yang selari dengan roh dan inti perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang telah meletakkan dasar perjuangannya ialah Islam dan telah menggariskan matlamatnya dalam Fasal 5 (1) untuk “memperjuangkan wujudnya didalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Ayat serta dasar dan matlamat tersebut juga selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan “Islam ialah agama bagi persekutuan.”
Maka bertolak atas aqidah, inti perjuangan dan roh inilah, Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim mengambil ketetapan-ketetapan berikut:
1. Mendesak PAS Pusat mengangkat  agenda Islam supaya dilihat dan kelihatan dalam PR secara bijaksana dan berhikmah yang menjadi matlamat utama keharusan bertahaluf siasi.
2. Mendesak PAS Pusat memastikan sebarang sebarang perjanjian, deklarasi, manifesto pilihanraya dan apa-apa juga persefahaman yang dilakukan dalam Pakatan Rakyat, mesti dan mengambil kira bahawa “Tiada sebarang halangan bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melaksanakan dasar, matlamat parti dan lain-lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.”
3. Mendesak Majlis Syura Ulamak PAS menyediakan garis panduan dan batas syarak dalam bertahaluf siyasi sebagai panduan kepada PAS Pusat dan pimpinan parti yang terlibat secara langsung dalam Pakatan Rakyat serta seluruh ahli.

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
USUL PENUBUHAN INSTITUSI PEMIKIRAN TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang bukan hanya seorang pemimpin politik semata-mata, beliau juga seorang ulama haraki yang disegani di dalam dan di luar negara. Keberadaanya dalam mana-mana program bertaraf antarabangsa sering mendapat perhatian dunia Islam. Beliau juga sering terlibat dalam memberi pandangan kepada gerakan Islam antarabangsa dalam isu-isu dan konflik umat Islam di serata dunia. Kemampuan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh Tuan Guru diiktiraf oleh para ulama sedunia melalui perlantikan sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia oleh Profesor Dr. Syeikh Yusof Al Qardhawi dalam persidangan para ulama sedunia baru-baru ini.
Rakyat Malaysia sewajarnya bangga dengan pengiktirafan Kesatuan Ulama Sedunia ke atas rakyat Malaysia yang bernama Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Perlantikan adalah satu penghormatan dan pengiktirafan terhadap  pemikiran, ilmu dan kepimpinannya. Rakyat Malaysia tidak sewajar hanya berbangga dengan pengiktirafan ini, pemikirannya hendaklah diinstitusikan supaya bermanfaat kepada umat Islam di negara ini.
Justeru itu, Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim menyarankan PAS Pusat menubuhkan INSTITUT PEMIKIRAN TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG dan menuntut kerajaan Malaysia memberi kemudahan untuk mewujudkan sebuah institusi yang berperanan mempromosikan idea dan pemikiran Tuan Guru Haji Abdul HAdi Awang sebagaimana pengiktirafan dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Qatar kepada Dr Yusuf Al Qardhawi. Jika dalam waktu tertentu tidak diberikan kemudahan ini maka Muktamar menuntut mana mana negari di bawah kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakan usul ini.
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
USUL KEMBALIKAN HAK WILAYAH LAUT NEGERI, TOLAK AKTA 750

Akta 750 atau Akta Wilayah Laut 2012 telah diluluskan pada 18 April 2012 untuk bagi memenuhi keperluan UNCLOS (United Nation Law of the Sea) sepatutnya hanya menentukan garis sempadan antarabangsa bagi Malaysia.
Seksyen 3(3) Bagi tujuan Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83], Akta Perlombongan 1966 [Akta 95], Kanun Tanah Negara [Akta 55/56], dan Undang-undang bertulis berkenaan Tanah yang dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan perairan wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai apa-apa bahagian laut yang bersebelahan dengan pantai itu tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut.
Akta ini secara sengaja telah digunakan merampas pelantar benua/ wilayah laut negeri-negeri dengan menghadkannya hanya kepada 3 batu nautika. Ia bertentangan dengan undang-undang negeri bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan;
1) Ordinan Tanah Sabah dan Ordinan Tanah Sarawak
2) North Borneo (Alteration of Boundries) Order in Council 1954 dan 1958 bagi tujuan Pelantar Benua kedua-dua Negeri ini.
Negeri-negeri di semenanjung seperti Kelantan dan Terangganu ia adalah bertentangan dengan hak negeri yang termaktub di dalam
1)  Kanun Tanah Negara yang meletakkan hak tanah di bawah negeri
Akta 750 bertentangan dengan juga Perlembagaan;
1) Artikel 2
"mengubah sempadan mana-mana Negeri, tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.
2) Artikel 76 Perlembagaan
"Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi Negeri-Negeri dalam hal-hal tertentu.
(1) Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, tetapi hanya seperti yang berikut sahaja, iaitu:
(a) bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana negara lain, atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan; atau
(b) bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua negeri atau lebih;atau
(c) jika diminta sedemikian oleh Dewan Undangan mana-mana negeri."
Justeru itu, Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim mengambil ketetapan berikut:
⦁  Akta ini hendaklah ditolak oleh kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dalam sidang dun negeri masing-masing,
⦁  Adun-Adun PAS hendaklah membawa isu ini ke dun di negeri yang tidak diperintah, dan
⦁  Ahli-ahli Parlimen PAS hendaklah membawa usul dan isu ini  ke parlimen bahawa AKTA ini tidak memenuhi peruntukan Artikel 2 dan 76 Perlembagaan Persekutuan.

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
USUL KEPADA SYARIKAT PENERBANGAN MAS
Kejadian pesawat MH17 yang ditembak di Ukraine dan kehilangan pesawat MH370 memberi pengajaran bermakna kepada kita. Beberapa perubahan perlu dilakukan oleh pihak pengurusan MAS dan kerajaan Malaysia supaya pesawat dan kru nya sentiasa berada dibawah perlindungan Allah SWT. Maka Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim mengambil ketetapan menuntut pihak MAS memberi kebenaran kepada peramugari MAS untuk berpakaian menutup aurat sebagaimana telah diamalkan oleh beberapa negara yang lain seperti Brunai Darul Salam.

PAS KAWASAN HULU LANGAT
USUL PEMERKASAAN DHPP & PENGUKUHAN SOKONGAN SOKONGAN BUKAN ISLAM KEPADA PAS
DHPP merupakan sayap yang sangat penting dalam menjayakan tujuan Parti Islam SeMalaysia PAS seperti yang digariskan dalam perlembagaan Fasal 5 (1): “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hokum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.
DHPP berperanan membawa prinsip dan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam. Peranan yang dimainkan oleh DHPP telah mendekatkan PAS kepada masyarakat bukan Islam dan meningkatkan undi bukan Islam kepada calon-calon PAS dalam pilihanraya.
Keberkesanan gerakerja DHPP perlu disokong dengan proses peningkatan kefahaman ahli-ahlinya, terhadap asas-asas Islam dan pengetahuan tentang politik Islam yang didokong oleh perjuangan PAS secara berterusan.
Justeru itu, Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim menuntut dan mendesak perkara berikut:
⦁  Lajnah Tarbiyah & Perkaderan, Lajnah Dakwah dan Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat menyediakan modul latihan yang komprehensif untuk DHPP, supaya sahabat kita yang menyertai DHPP dapat lebih mengenali perkara-perkara asas agama Islam dan kesyumulan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
⦁  Modul yang disediakan ini, dilaksanakan secara sistematik di peringkat PAS Kawasan di seluruh negara.
⦁  DHPP membantu Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dalam merangka modul penerangan tentang agama-agama lain dan budaya masyarakat bukan Islam kepada ahli-ahli PAS. Ini dapat membantu proses “Li Taa’rafu” seperti mana yang dianjurkan oleh ALLah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13.

PAS KAWASAN KELANA JAYA
Memandangkan perkauman adalah ditentang oleh Islam seperti yang dirakam di dalam Al Quran, hadis dan diperlihatkan dalam Sunnah.
Memandangkan isu perkauman kini bertambah marak ditiupkan oleh golongan tertentu, atas kepentingan mereka, bukan saja dalam kempen pilihanraya tetapi juga pada setiap masa dan di mana saja. Keadaan ini akan menimpakan akibat buruk kepada keharmonian dan kestabilan negara.
Memandangkan isu ini juga akan mengakibatkan perselisihan kaum yang tidak terkawal dan melumpuhkan pelbagai institusi masyarakat yang selama ini berjuang untuk menegakkan keadilan, menentang kezaliman dan diskriminasi:
Maka Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim

⦁  Meminta PAS Pusat mengambil inisiatif memperbaharui komitmen dan gerakan menentang gejala perkauman (asobiyah) secara berkesan.

⦁  Menggerakkan semua langkah, termasuk mengadakan program besar dan kecil di seluruh negara, bagi menerangkan perjuangan PAS selama ini menentang perkauman.

⦁  Menjelaskan kepada rakan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat bahawa PAS akan terus menentang perkauman dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pun dalam perjuangan menentang gejala perkauman ini. Juga mempastikan bahawa golongan perkauman dari pihak manapun tidak boleh dianggap mewakili suara dan sikap rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

⦁    Menuntut Kerajan Barisan Nasional bertegas menentang perkauman dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam penentangan ini dengan tidak mengambil kira kepentingan dan fedah politik mereka.

PAS KAWASAN DUNGUN
USUL AGAMA
Menyedari bahawa masih ada acara sukan yang tidak menghormati waktu Maghrib dan terus bermain tanpa menghiraukan pemain dan penonton yang beragama Islam, maka  Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim mendesak kerajaan Malaysia dan penganjur sukan supaya memberhentikan semua acara sukan apabila masuk waktu Maghrib. - HARAKAHDAILY 20/9/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails