Wednesday, September 17, 2014

Hilang Kawan, Merugikan Kita - Mohamad Sabu


KOTA TINGGI: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengingatkan Pemuda PAS Malaysia agar mengeratkan persahabatan di dalam Pakatan Rakyat dalam mewujudkan suasana politik yang baharu pada masa akan datang.

Beliau yang berucap pada perasmian Muktamar Pemuda PAS Malaysia kali ke-55 di Dewan Choon Moi mengatakan bahawa kegagalan dalam mengawal hubungan persahabatan ini akan mengakibatkan impian untuk politik baru akan lenyap begitu sahaja.

"Kritiklah kami, tegurlah kami tetapi jangan sampai merugikan perjuangan politik yang kita ada.
"Kita sekarang berada dalam Pakatan Rakyat untuk menwujudkan suasana politik yang harmoni, kalau kita gagal, maka apa yang kita capai akan lenyap begitu sahaja.
"Jangan kita rugikan apa yang kita buat selama ini, apabila kita hilang kawan undi kita akan merosot dan apabila kita ada kawan undi kita meningkat, ini yang kita perlu ingat serta perhatikan," ucap beliau di hadapan kira-kira 700 orang perwakilan pemuda.

Mohamad yang turut mengingatkan bahawa Umno cukup bimbang dengan kekuatan PAS, PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat, mereka hanya ingin meleraikan persahabatan ini dan bukan bersimpati dengan PAS.

"Semua yang berlaku adalah pengajaran untuk kita semua dalam membentuk sebuah parti yang kukuh.
"Rakyat sekarang mula melihat kita bukan hanya sebagai sebuah parti politik tetapi atas prestasi dan hubungan yang wujud dalam pakatan itu sendiri.
"Apa pun perbezaan pendapat, kita berbeza dalam sebuah keluarga yang kuat, sekarang kita fokus kepada menjatuhkan Umno dan bukannya untuk menjatuhkan rakan di dalam parti kita sendiri," kata beliau.

Beliau yang turut menyambut baik sambutan Muktamar PAS tahun ini yang pertama kali dibuat di Johor dan dilihat sebagai usaha PAS terutamanya Pakatan Rakyat untuk merampas Johor pada pilihan raya akan datang.

Mohamad turut menyampaikan anugerah Tokoh Pemuda kepada Almarhum Datuk Abu Bakar Chik yang diterima oleh anaknya, Fathi Aziz Abu Bakar.

Anugerah lain yang turut disampaikan antaranya termasuklah Tokoh Perjuang Rakyat kepada Wahida Mohd Salleh bagi insiden Kampung Chubadak, Anugerah Tokoh Anak Muda Prihatin, Anugerah Tokoh Anak Muda Istimewa dan Anugerah Tokoh Perjuang Anak Muda. – HARAKAHDAILY 16/9/2014

1 comment:

Anonymous said...

Mat Sabu... Mat Sabu....
JngN Hilang kawan... Tapi kawan janganlah mengambil kesempatan atas persahabatan.
Langkah kajang adalah satu kebodohan.
Tapi Allah maha besar, hikmahnya ada, banyak musuh menunjukkan diri sebenarnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails