Saturday, May 24, 2014

RTM Tidak Bagi Laluan Kelantan Jelaskan Hudud


KOTA BHARU: Sehingga kini RTM tidak memberi sebarang jawapan bagi membolehkan kerajaan negeri menjelaskan mengenai perundangan hudud kepada masyarakat, kata Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, permintaan itu dibuat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan Dewan Undangan Negeri 10 Julai 1994 selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dibentang  24 Nov 1993.

“Kita pernah memohon supaya RTM siarkan penerangan mengenai hudud tetapi tidak dijawab oleh RTM. Biar pun begitu kita telah melalui proses yang begitu teliti sebelum enakmen dibentang di persidangan Dun. Malah sebelum dibawa ke persidangan Dun kita juga adakan seminar pada 17 Nov 1993 di Balai Islam.

“Telah banyak kali diadakan bengkel, kolokium, seminar sebelum enakmen dibawa ke persidangan Dun. Prosesnya yang hebat dan mendapat tempat dalam masyarakat yang tidak pernah berlaku pada enakmen lain,” katanya merasmikan seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di Putik hari ini. (Gambar atas)

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS  Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood.

Seminar julung kali dianjurkan Dewan Ulama PAS Pusat selepas diwujudkan Jawatankuasa Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Pesertanya datang dari seluruh negara. Ustaz Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata, selepas dilulus kerajaan negeri tidak dibenarkan melaksanakan Kanun Jenayah  Syariah melalui sepucuk surat yang dihantar Perdana Menteri ketika itu.

“Kita mendapat surat yang begitu mendukacitakan daripada Tun Dr Mahathir, malah beliau juga menuduh sebagai hudud PAS.
“Biar pun kita dihalang namun ia tidak mematikan usaha kita. Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai seminar lagi bagi  mencari jalan ke arah pelaksanaannya. Dan hasil daripada rumusan seminar 2012 ada pakar melihat Kelantan ada peluang untuk melaksanakan hudud.
“Dan sekarang kita berusaha untuk membawa private bill ke parlimen selepas dilihat ada sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya menteri dalam ucapannnya di parlimen memberi jaminan untuk menyokong mana-mana negeri yang hendak melaksanakan hudud dan ia perlu dibawa sendiri pembangkang.

“Maka Kelantan pada 2 April menyambut baik dan membuat keputusan untuk bawa private bill ke parlimen,” katanya.

Menurutnya juga pada tahun lepas kerajaan negeri memasukkan dalam bajet 2013 sebanyak RM1 juta untuk menyediakan prasarana ke arah pelaksanaan hudud di Kelantan. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails