Saturday, May 24, 2014

Hakim Syarie Boleh Bersidang Di Mahkamah Tinggi



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan turut melihat rasionalisasi kesalahan kes hudud boleh bersidang di Mahkamah Tinggi sedia ada dengan penambahan bilangan hakim.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, dua hakim syarie boleh dibawa untuk duduk bersama hakim mahkamah tinggi sedia ada.

“Hakim syarie boleh bersidang di Mahkamah Tinggi yang ada sekarang.

Dua hakim syarie dan seorang hakim sivil bagi mengadili kes-kes berkaitan jenayah hudud.

“Lagi pun sekarang hukuman di bawah takzir suudah ada di bawah panel code yang diamalkan di negara kita,” katanya ketika membentang kertas kerja pada seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di Putik hari ini.

Pada sebelah pagi kertas kerja pertama dibentang bekas anggota Exco kerajaan Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah, manakala pengulasnya anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Kertas kerja Dr Fadzli diulang peguam Datuk Wan Mutalib Wan Embong dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dr Fadzli berkata, selain melaksanakan perundangan syariah bagi kesalahan jenayah, proses Islamisasi undang-undang yang ada sekarang juga boleh dilakukan. Menurutnya juga kerajaan negeri merancang bagi memperkasakan lagi institusi pendakwaan kes syarie dengan mewujudkan satu institusi yang berdikari.

Katanya bahagian pendakwaan boleh dicadang dipisahkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan. Wan Mutalib pula berkata, semasa PAS mentadbir Terengganu kerajaan negeri ketika itu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Fasal 3 dengan menjadikan syariah sebagai sumber rujukan negeri.

“Kena peruntukan syariah dalam perlembagaan itu sendiri bagi memudahkan pelaksanaan perundangan syariah,” katanya ketika mengulas kertas kerja tersebut.

Beliau juga meluahkan rasa bimbang apabila kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Hudud Kebangsaan akan menyebabkan perundangan tersebut tidak dapat dilaksanakan di Kelantan.

“Kalau ditengok kepada pengalaman lampau apabila kerajaan mewujudkan sesebuah jawatankuasa bagi mengkaji sesuatu bermakna tidak jadilah apa yang hendak dilaksanakan.
“Saya juga mencadangkan selepas sudah 21 tahun enakmen hudud diluluskan di Kelantan beberapa jawatankuasa perundangan perlu diwujudkan. Begitu juga prasarana perundangan perlu disiapkan lagi,” ujarnya.

Nik Abduh berkata, selepas runtuhnya Khalifah Islamiah di Turki kira-kira 90 tahun lalu, perundangan hudud tidak lagi berjalan di kebanyakan Negara umat Islam. Katanya, selepas penjajah datang hukum Islam hanya berjalan dalam soal nikah kahwin sahaja, manakala kesalahan jenayah menggunakan perundangan ciptaan barat.

Dr Mohd Khairuddin pula berkata, halangan politik dan ugutan daripada Perdana Menteri menghalang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dilaksanakan.

“Kelantan telah cuba berusaha mengikut kemampuan maksimum sehingga  ditubuh Jawatankuasa Teknikal sebagai langkah ke hadapan bagi melaksanakan perundangan syariah.
“Ini bukan soal perangkap kerana wajib bagi kita melaksanakan perundangan hudud syariah di mahkamah,” katanya. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails