Thursday, May 22, 2014

Serbu Dun: Ketua Polis Pulau Pinang Wajar Letak Jawatan


BUKIT GELUGOR: Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi wajar meletakkan jawatan kerana gagal mengawal keselamatan di Dewan Undangan Negeri (Dun) tengah hari tadi.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, kejadian merusuh oleh ahli dan penyokong Umno itu satu tindakan kurang ajar kerana tidak menghormati undang-undang sedangkan di dalam Dun mana-mana pihak tidak boleh bertindak sedemikian kerana ia terikat dengan peraturan dewan.

"Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi kena letak jawatan kerana tidak menghalang tindakan ahli dan penyokong Umno yang bertindak kasar menyerang Dun. Patut mereka menghormati Dun," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Jika tidak puas hati katanya, ada ruang perbahasan di dewan tidak wajar bertindak terburu-buru membawa perwatakan buruk, jijik dan kurang ajar.

Contohnya, di Parlimen lebih teruk perkataan yang keluar namun semua itu tidak menjadi hal ekoran dalam dewan perbahasan boleh dibuat walaupun kadang-kadang mengundang kemarahan ahli parlimen yang lain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata selain meletakkan jawatan Abdul Rahim juga perlu memohon maaf kepada ahli-ahli Dun sama ada kerajaan atau pembangkang kerama gagal mengawal keselamatan Dun yang mempunyai kebebasan bersuara.

“Jika beliau membiarkan kejadian itu berlaku pasti akan berulang pada masa depan memandangkan individu terbabit tidak dengar kata.

" Tindakan itu satu kesalahan maka Ketua Polis wajib menahan mereka yang tidak langsung hormat undang-undang. Orang bertanya adakah perbuatan itu dibuat oleh Umno, polis diam membisu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Sementara itu Adun Seri Delima, RSN Rayer dalam ucapan menegaskan, beliau tidak akan menarik balik perkataan 'celaka' yang diucapkannya semasa persidangan Dun semalam.

Menurutnya perkara tersebut bukan ditujukan pada semua orang sebaliknya hanya nama-nama yang disebut ketika perhimpunan di Seberang Jaya tempoh hari.

"Semua pihak boleh meneliti 'hansard' di Dun. Saya tidak pun menyebut celaka pada semua individu tetapi sekadar beberapa orang tertentu sahaja. Salah ke berbahas dengan nada kuat. Umno yang ada buat apa patut melawan dengan hujahan berfakta," tambahnya.

Sejurus selepas mengadakan sidang media khas bersama kepimpinan PAS di Dewan JKKK Taman Sardon, beliau yang ditemani calon Pakatan Rakyat, Ramkarpal membuat laporan di Balai Polis Jelutong pada jam 6.00 petang.

Dun Pulau Pinang kecuh semalam berikutan ucapan Adun Seri Delima yang mengeluarkan perkataan 'celaka' kepada kepimpinan Umno khususnya Ahli Parlimen Kepala Batas, Reezal Merican  yang mengadakan perhimpunan di Seberang Jaya kononnya membantah perhimpunan kangkung anjuran PKR sebelum itu. - HARAKAHDAILY 21/5/2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails