Saturday, May 24, 2014

Dr Jamal Abdul El-Sattar Pemimpin Ikhwan Sambut Bantuan PAS



Salahuddin (kanan) menyampaikan sumbangan PAS kepada Dr Jamal sambil diiringi Dr Syed Azman (kiri) dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nasaei Ismail.

KUALA LUMPUR: Air mata mengalir deras di pipi pemimpin Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Jamal Abdul El-Sattar ketika menerima sumbangan PAS untuk saudara se-Islam yang kini ditindas regim tentera Mesir.

Sumbangan yang disampaikan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub itu diharap dapat membantu membeli ubat-ubatan, pakaian, makanan, membiayai anak-anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya.

"Kepimpinan PAS di bawah Ustaz Abdul Hadi telah banyak membantu kami di waktu senang dan susah.
"Kami amat menghargai sokongan dan dokongan yang tidak berbelah-bahagi dari PAS kepada Ikhwan. Kami akan terus  membuktikan sifat toleransi dan kesabaran yang tinggi walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan ujian," kata Dr Jamal dalam kunjungan singkatnya di ibu negara, semalam.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir itu menyifatkan sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi PAS kepada Ikhwan telah memberi semangat yang kuat kepada sahabat-sahabat di Mesir bagi meneruskan agenda perubaha secara aman walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan ujian yang amat berat.

Menurut beliau, ramai di kalangan pemimpin Ikhwan yang dibunuh secara kejam dan ribuan  kini ditahan di penjara seluruh Mesir sebaik selepas rampasan kuasa (kudeta) tentera yang menggulingkan Presidan Mohamad Morsi. Beliau juga mengharapkan ahli PAS sentiasa mendoakan kesabaran kepada anggota Ikhwanul Muslimin yang sedang menghadapi ujian.

"Kami sudah biasa di penjara dan diseksa dengan kejam oleh rejim yang ganas. Hanya kesabaran dan keyakinan kepada janji-janji Allah SWT menjadi senjata kami.
"Kami yakin dengan janji-janji Allah SWT, detik-detik kemenangan akan pasti datang dengan kesabaran dalam ujian yang amat mencabar ini. Doakan kesabaran kami dalam menghadapi ujian ini," ujar beliau.

Sementara itu, Salahuddin sekali lagi mengulangi penegasan PAS untuk berdiri teguh bersama Ikhwan Muslimin bagi memperjuangkan masyarakat Islam yang adil dan saksama secara demokratik dan aman.

"Sumbangan yang kecil ini adalah sedikit rasa perkongsian kesedihan dan tangisan umat Islam seluruh dunia terhadap ujian besar yang dihadapi oleh rakyat Mesir selain doa dan munajat yang dipanjatkan setiap hari untuk kesejahteraan mereka di sana," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad, mengharapkan setiap ahli PAS serta rakyat Malaysia terus membantu rakyat Mesir serta mendoakan kesabaran kepada Ikhwanul Muslimin yang sedang menghadapi ujian yang amat berat.

"PAS tidak akan sekali-kali meninggalkan tanggung jawab membantu sahabat-sahabat di Mesir di waktu mereka sedang di uji dengan ujian yang amat mencabar ini," katanya.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Mesir boleh disalurkan ke akaun Maybank 5640 7070 3248 atas nama Parti Islam Se-Malaysia. - HARAKAHDAILY, 23/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails