Monday, May 19, 2014

Polis Tindak Segera Terhadap Penganjur Penceramah Bekas Paderi Palsu..


















Penganjur seminar kontroversi Kristianisasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mesti menjelaskan mengapa mereka menjemput penceramah palsu bagi “menyerang” agama lain, kata para sarjana hari ini.

Mereka menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap penganjur kerana mengundang penceramah meragukan bagi mewujudkan hubungan tegang antara agama di Malaysia.

“Amat menjengkelkan mereka menganjurkan seminar tanpa menjemput pihak lain (pakar Kristian) bagi memastikan sebuah perdebatan yang sihat,” kata Ahli Parlimen PAS Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).
“Tetapi sekarang kita dapati Sidang Biskop Indonesia menafikan dua penceramah itu adalah paderi atau rahib. Jadi apakah objektif sebenar penganjur?"
"Mereka mesti menjelaskan mengapa 'penceramah' sebegini dijemput ke seminar itu kerana mereka mungkin mempunyai maklumat yang tidak dimiliki Indonesia. Jika mereka berdiam diri, saya menyifatkan tujuan mereka tidak jelas atau tidak mencapai matlamat," katanya.

Setiausaha Eksekutif Sidang Biskop Indonesia Edy Purwanto hari ini memaklumkan tiada maklumat penceramah bernama Insan L S Mokoginta yang mengaku bekas paderi Katolik sebelum memeluk Islam pada 1976.

Mokoginta berucap dengan tajuk “Ancaman Kristianisasi” di seminar itu mendakwa "setiap pengikut Jesus perlu memeluk Islam jika tidak dianggap menderhaka”.

Semakan ke atas Irena Handono, seorang lagi penceramah di majlis itu yang mendakwa bekas rahib Katolik juga tidak benar malah dia gagal menamatkan pengajian. Antara yang turut dicurigai dalam seminar itu adalah Prof Dr Menehim Ali yang dikhabarkan Pakar Kristologi Universiti Bandung seperti yang tertera di buku atur cara program.

Tidak dapat dipastikan jika Menehim menggunakan nama lain kerana Bernama melaporkan ahli akademik itu dari Universiti Airlangga, Surabaya. Menehim menerusi seminar itu berkata kalimah Allah seharusnya digunakan oleh orang Islam kerana ia berasal dari Al-Quran dan tidak berasal dari Bible asal.

Mujahid berkata kredibiliti UiTM kini dipersoalkan dan universiti itu mesti menjawab sama ada ia dipergunakan oleh pihak lain untuk program itu atau sememangnya program itu anjuran mereka sendiri.

“Ia satu kekesalan yang besar jika institusi pendidikan ini membenarkan ia dipergunakan oleh pihak lain dengan tujuan yang lebih besar. Namun UiTM sendiri menganjurkan seminar itu dan ia satu kecuaian kerana tidak memeriksa kredibiliti penceramah.”

Aktivis Islam dan reformis Dr Chandra Muzaffar pula menggesa tindakan segera kepada penganjur jika didapati bersalah membenarkan penceramah memberikan ucapan semasa seminar itu.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dan dengan perkembangan terbaru, mereka tiada alasan untuk tidak menyiasat isu ini. Ini merbahaya kerana mereka menggunakan penyamaran bagi menyemarakkan api perkauman dan menambahkan ketegangan dalam negara.
“Penganjur mesti bertanggungjawab dan mengambil tindakan sepatutnya kerana ia membabitkan hubungan antara agama yang boleh mencetuskan sentimen,” katanya.

Chandra berkata UiTM mesti memohon maaf kerana mendedahkan pembohongan setelah kebenarannya kini terbukti.

"Saya mahukan penjelasan dari UiTM kerana menyediakan platform kepada penceramah ini. Apa yang paling penting penganjur perlu dipertanggungjawabkan kerana membawa pencerahan seperti ini.
"Ini institusi pengajian tinggi dan integritinya perlu dipelihara. Perkara sebegini tidak seharusnya terjadi." – 19 Mei, 2014. (TMI)

1 comment:

Anonymous said...

Apa pun kristianisasi tetap ancaman pada umat Islam di Malaysia & Indonesia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails