Sunday, September 15, 2013

Premis Urut Tawar Seks Di Jalan Bukit Bintang..

KUALA LUMPUR - Premis urut di Jalan Bukit Bintang yang menggunakan wanita sebagai peraih pelanggan di kesan turut menawarkan khidmat urutan badan meskipun lesen yang dikeluarkan hanya membenarkan khidmat urutan kaki.

Malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menerima aduan berhubung kegiatan khidmat tambahan membabitkan seks. Penolong pengarah jabatan perlesenan dan pengurusan penjaja DBKL, Irwan Shafari Wahab berkata, kehadiran wanita-wanita dengan imej menjolok mata ditambah dengan cara mereka meraih pelanggan, menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung.

“Biasanya peraih-peraih urut ini akan menarik pelanggan khususnya pelanggan lelaki meskipun ketika itu individu berkenaan berjalan bersama pasangan mahupun keluarga, tidak kira warga asing mahupun tempatan,” katanya selepas mengetuai Ops Peraih Urut di Jalan Bukit Bintang, malam kelmarin.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati empat premis menjalankan perkhidmatan yang melanggar syarat lesen apabila menyediakan khidmat urutan badan.

“Premis-premis ini  hanya dibenarkan menjalankan khidmat urut kaki. Tetapi tempat urut yang disediakan menggambarkan khidmat urut badan juga ditawarkan di samping terdapat pelanggan yang sedang melakukan urutan badan ketika pemeriksaan.
“Ada premis yang kita kompaun kerana beroperasi tanpa lesen. Untuk makluman, lesen urut kaki dan urut badan telah dibekukan sejak 2009 jadi kita tidak benarkan sebarang lesen baru bagi aktiviti urut badan,” katanya.

Irwan berkata, mana-mana premis yang didapati terlibat dengan pelanggaran syarat pihaknya akan mengeluarkan surat tunjuk kepada pengusaha dan akan dibawa kepada jawatankuasa pembatalan lesen.

“Ia merupakan amalan kepada pengusaha yang terus berdegil setelah beberapa peringatan dan pelbagai usaha dibuat tapi tiada perubahan, kita akan batalkan lesen,” katanya.

Jelasnya, turut dikenakan tindakan dalam operasi bermula jam 10 malam itu, ada terhadap premis urut yang beroperasi lebih masa iaitu melebihi jam 12 malam.

“Tindakan diambil selaras dengan Undang-undang Kecil 24 Establishment Kecantikan dan Kesihatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2003, jika sabit salah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya. (SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails