Monday, September 16, 2013

Kahwin Lambat, Bangkrap, Rumah Dll, Ini Resolusinya..



KUALA LUMPUR: Fenomena kahwin lambat di kalangan generasi muda Islam negara ini akan turut dibincangkan dalam Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah anjuran Persatuan Ulama Malaysia, pada 21 dan 22 September ini.

Seminar dua hari yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam itu bertujuan memberi kefahaman tentang isu-isu semasa berkaitan kepenggunaan, pemilikan rumah, kebangkrapan dan kahwin lambat serta mencadangkan resolusi kepada isu-isu tersebut.

Seminar ini juga diadakan bertujuan menghimpunkan intelektual, pengamal perbankan, pendakwah-pendakwah tanah air untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Dalam satu kenyataan media, Sekretariat Seminar menjelaskan, perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang.

Situasi ini juga menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.

“Masalah kahwin lambat disebabkan oleh perkembangan dan perubahan sosiobudaya yang begitu pesat sekali. Perubahan ini adalah akibat kepesatan pembangunan, khususnya dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan.

“Begitu juga harga rumah yang melambung tinggi merupakan satu masalah yang tidak boleh dipandang ringan. Walaupun kerajaan telah memperkenalkan Program Pemilikan Rumah Mampu Milik dan Skim Rumah Mesra Rakyat, namun hakikatnya masih ramai yang tidak mampu membeli rumah,” kenyataan media itu dipetik.

Seminar ini terbuka kepada umum dan orang ramai yang ingin mendaftar diminta menghubungi  013-384 0710 (Azmi),  013-403 8507 (Suraya),  03-5512 4300 / 03-5511 4301 (Pejabat),  03-5511 4302 (Faks) dan emel:  pumpusat@yahoo.com

Yang Dipertua PUM, Dato’ Sheik Abdul halim Abd Kadir dijadual memberikan ucaptama berkisar topik Maqasid Syariah pada 21 September.

Antara pembentang kertas kerja ialah Pengarah Eksekutif,  Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Prof. Madya Dr. Mohamad Akram Laldin; Pengarah Urusan, Syarikat Perumahan Negara Bhd, Dato' Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh; Pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Bank Negara Malaysia, Muhamad Rapidi Mohd Darus; dan Pengerusi Pembangunan Sosial IKRAM & Naib Ketua Wanita IKRAM, Prof. Madya Dr Harlina Halizah Siraj.

Turut membentangkan kertas kerja ialah  Ketua Unit Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Nazri Chik;  Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim; dan  CEO, Perbadanan Wakaf Selangor, Abu Bakar Yang.

Yuran penyertaan RM150 bagi wakil agensi kerajaan dan swasta, RM100 (individu, perseorangan dan wakil NGO) serta RM50 bagi pelajar. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails