Friday, November 16, 2012

Sokong Isytihar Harta, Minta Calon Ikut -SAMM

 
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah di atas komitmen Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS untuk mengistiharkan harta sebelum menyertai PRU 13 jika dinamakan oleh parti sebagai calon.

Komitmen beliau telah ditegaskan melalui ucapan dalam Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 53 di Kelantan beberapa hari lalu.

"Tindakan berani ini perlu kerana PRU dan pentadbiran negara masa mendatang ini memerlukan komitmen tinggi pemimpin dan ahli politik yang telus dan penuh berintegriti," kata ketuanya, Badrul Hisham Shahrin (gambar).

SAMM, katanya, menyeru rakyat atau pengundi menjadikan pengistiharan harta ini sebahagian syarat wajib untuk mendapatkan undi rakyat. Beliau seterusnya menyeru rakyat agar bangkit menolak pemimpin calon yang tidak mengistiharkan hartanya. Pengistiharan harta juga perlu dibuat secara serius dengan turut mengumumkan harta calon, isteri, anak dan saudara terdekat.

"Ini penting dan mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah," kata beliau.

Menurutnya, ramai ahli politik yang menjadi kaya mendadak walaupun baru sahaja memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran negara.

"Baik BN atau PR selepas mengistiharkan harta sebelum PRU maka apabila ingin memasuki PRU berikutnya, rakyat boleh menilai berapa banyak laba yang diperolehi apabila duduk sesuatu jawatan atau mandat yang diberikan rakyat.

"Tanpa menafikan sememangnya bukan sedikit mereka yang dahulunya hidup sederhana malah susah tetapi selepas PRU meraih laba yang melampau apabila duduk mengalas sesuatu amanah yang diberi rakyat," tambahnya.

Rakyat juga, katanya, perlu menilai kejujuran dan kebenaran harta yang diistiharkan dan keadaan semasa kehidupan seseorang bakal calon.

"Mekanisma isytihar harta mungkin ada kelemahan tetapi yang penting wajib istihar dan rakyat akan melihat betapa serius kita melakukannya demi menjamin pentadbiran yang berintegriti.
"Sama ada ia inisiatif SPR menjadikan ia perkara wajib, atau usaha parti politik mahupun individu, yang pastinya rakyat harus menjadikan pengistiharan harta sebagai satu kriteria wajib sebelum memilih calon," katanya.

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails