Friday, November 16, 2012

Salahuddin Nasir Berucap Dalam Kantonis & Tamil.


Tiga pimpinan utama PAS ketawa besar dengan celoteh perwakilan Gombak

KOTA BHARU: Perwakilan dari Gombak, Selangor, Salahuddin Nasir mencuit hati sidang Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 hari ini apabila berucap dalam bahasa Kantonis dan Tamil. Beliau berucap dalam bahasa Kantonis dan Tamil kira-kira lima minit dan mendapat tepukan gemuruh para perwakilan, pemerhati dan pimpinan PAS.

Bagaimanapun, apabila Timbalan Pengerusi Tetap, Hussein Ismail bertanya maksud ucapannya, Salahuddin secara berseloroh menyuruh beliau bertanya sendiri kepada wakil Cina dan India. Ucapan dalam kedua-dua bahasa itu sebagai meraikan kehadiran wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ke muktamar yang berlangsung di Putik itu.

"Hasil usaha yang dilakar bersama maka terbina DHPP dan selangor merakamkan ucapan terima kasih kepada wakil DHPP yang hadir bersama hari ini. Oleh itu, saya akan menyampaikan ucapan dalam bahasa Kantonis dan Tamil," kata Salahudin (gambar).

Beliau dalam pada itu secara serius menyeru ahli ikhlas memberikan sokongan kepada PAS dan meminta golongan yang mempunyai agenda tersembunyi meninggalkan PAS.

"Ahli-ahli parti terlebih dahulu mesti memberi wala' kepada pimpinan dan jemaah.

"Kita tidak mahu ahli PAS yang berada dalam jemaah tapi memberi wala' kepada yang lain dari PAS.

"Orang yang seperti ini kita harap angkat kaki dan tinggalkan PAS. Kita tidak perlu orang seperti ini," tegasnya.

Beliau turut mengingatkan ahli agar tidak menjadikan Putrajaya sebagai matlamat akhir tapi hanya wasilah untuk menegakkan Islam.

"Ingatan saya, Putrajaya bukan matlamat tapi wasilah. Matlamat kita menegakkan Islam di atas runtuhan kemungkaran," katanya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails