Sunday, November 11, 2012

PRU 13, Calon PAS Pahang Buat Deklarasi Harta..


TEMERLOH: Semakin ramai memberikan sokongan kepada cadangan Pemuda PAS untuk membuat deklarasi harta di muktamar akan datang. Setelah mendapat pujian dan sokongan daripada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Pemuda PAS kini mendapat sokongan daripada Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Bercakap kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim berkata PAS Pahang menyambut baik cadangan Pemuda PAS untuk membuat deklarasi harta. Beliau turut mengumumkan bahawa semua calon PAS di Pahang untuk PRU13 akan membuat deklarasi harta untuk dinilai rakyat.

“Pemimpin dan calon-calon PAS harus diketengahkan secara telus dan berwibawa untuk melawan pihak lawan yang suka berlindung. Deklarasi harta ini membuka peluang kepada rakyat untuk memilih dengan penuh jelas dan tanpa was-was calon-calon yang bakal mewakili mereka di Dun dan di parlimen,” kata beliau.

Kata Tuan Ibrahim, perwakilan PAS Pahang akan memberikan sokongan penuh kepada usul Pemuda PAS ini di muktamar nanti.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini  walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang. Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.

"Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS," katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, semalam.

Langkah tersebut, katanya bertujuan menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak. Mustafa sebelum ini berkata cadangan Pemuda PAS ini menunjukkan keprihatinan mereka untuk telus, terbuka dan bertanggungjawab sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang disarankan Islam.

“PAS sudah mengamalkan hal ini secara dalaman yang melibatkan penjawat awam seperti menteri besar dan exco. Bagus untuk perkara ini jika dibuat secara terbuka,” katanya sambil memuji keberanian Pemuda PAS mengambil langkah sedemikian untuk meningkatkan kewibawaan parti.

Bagi cadangan untuk calon mengisytiharkan harta, Mustafa percaya cadangan Pemuda PAS akan diteliti oleh para pimpinan PAS untuk melihat mekanisme terbaik yang perlu diambil ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Weblog Ibnu Hasyim juga menyokong usaha murni tersebut. (lihat Semua Pemimpin PAS Perlu Isytihar Harta -I/H).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails