Thursday, November 15, 2012
Muslimat PAS: Ini Penyelesaian Pembantu Rumah.
Suasana Muktamar Muslimat PAS Pusat di dewan Kelantan Trade Centre.
KOTA BHARU: Kementerian Sumber Manusia digesa melaksanakan pelan tindakan bagi melatih warga tempatan sebagai pembantu rumah untuk mengurangkan pergantungan kepada pihak luar dan menyekat pengaliran keluar wang negara. Usul ini dikemukakan oleh Perwakilan Muslimat dari Indera Mahkota Zuriati Muhammad telah dibahaskan dan diluluskan.
Ketika mengemukakan usul ini, Zuriati (gambar) berkata, isu pembantu rumah tidak pernah reda apatah lagi apabila Kerajaan Indonesia menetapkan syarat agar majikan Malaysia membayar gaji minimum RM700 bagi setiap jenis pekerjaan.
"Senario ini membuka mata semua apabila masing-masing mempersoalkan mengapa perlu menggaji orang luar?
"Mana perginya rakyat tempatan? Persoalan ini menjadi retorik apabila kita sendiri yang mengambil pekerja asing sebagai pembantu rumah," katanya di depan lebih 600 perwakilan di Kelantan Trade Centre.
Katanya, berdasarkan kajian keadaan ini berlaku kerana sikap rakyat tempatan yang memandang remeh pekerjaan tersebut atau menilai kualiti kerja orang luar labih baik dari warga tempatan. Oleh yang demikian, katanya pelbagai pihak telah tampil memberi cadangan untuk mengangkat martabat pembantu rumah sebagai satu profesion untuk menarik minat warga tempatan.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan intitusi latihan kemahiran pembantu rumah yang diakreditasi, mengiktiraf pekerjaan tersebut dalam Akta Pekerjaan 1955, diberikan kelayakan cuti tahunan, cuti sakit dan cuti umum.
Selain itu, katanya, pembantu rumah diberi kelayakan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sossial (Perkeso). Seramai 10 perwakilan antaranya dari Dungun, Padang Terap, Beruas, Subang dan Kuala Langat turut membahaskan usul ini.
Perwakilan Kuala Langat Rogayah Ibrahim (gambar atas) mensyorkan agar DMPP menjadi pelopor untuk merialisasikan cadangan ini dengan menubuhkan akademi latihan pembantu rumah.
"Apa yang dibuat Muslimat, dapat melatih para pengasuh yang mempunyai jiwa islam. Kami berada di bawah ini sangat memohon agar selepas ini DMPP wujudkan akademi itu supaya dapat lihat. Bukan setakat usul sahaja," katanya.
Perwakilan Subang Mariam Rashid mencadangkan agar peranan suami amat diperlukan dalam menyelesaikan masalah pembantu rumah ini. Katanya, suami harus bersama-sama isteri menguruskan rumah tangga dalam masa yang sama mereka berdua bekerja dan mengekalkan kualiti kerja.
"Usul ini sangat baik dan sokong sepenuhnya. Institusi pembantu rumah perlu diperdanakan, jangan melabelkan institusi ini sebagai pekerjaan yang dipandang rendah," katanya. (IH/Hrkh)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment