Thursday, November 15, 2012

Muslimat Prihatin Kebajikan Terlaksana -Siti Zailah

 
KOTA BHARU - Muslimat Prihatin Kebajikan Terlaksana, tema kali  ini. Dewan Muslimat Pas Pusat menyeru seluruh perwakilan merapatkan saf perjuangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara menyeluruh dalam urus tadbir parti itu.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusoff dalam ucaptamanya berkata, bila pun masanya yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri kelak, muslimat perlu sedia untuk bertempur dalam pilihan raya yang paling sengit ini.

"Walau bila pun tarikhnya, saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera Dewan Muslimat Pas untuk bersiap sedia sebaik sahaja muktamar kita selesai untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Semua aktivit Muslimat Pas Kawasan hendaklah sekurang-kurangnya melaksanakan 70 peratus tumpuan program ke arah mendekati pengundi yang masih menunggu Pas bertemu dengan mereka dan golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang," ujar beliau.

Menurut Zailah, muslimat memerlukan pendekatan yang lebih terkehadapan "sebagai salah satu sayap kepada Pas, Muslimat Pas mesti dilihat melepasi kepongan pemencilan."

"Ia hendaklah dilihat sebagai tenaga penting dalam semua bidang kemasyarakatan khususnya dalam memimpin pemikiran feminisme yang menepati syariat, menaikkan martabat wanita, meletakkan hak-hak wanita kembali ke tempat asalnya serta membela masyarakat wanita yang ditindas," ujar beliau lagi.

Bertemakan 'Muslimat Prihatin Kebajikan Terlaksana', Dewan Muslimat Pas Pusat yang bermuktamr kali ke-52 menggariskan enam agenda berkebajikan wanita, kesinambungan tema muktamar lalu Membangun Negara Berkebajikan.

Ia merangkumi bidang pendidikan, penglibatan dan peluang ekonomi, pendemokrasian politik, kelangsungan kesihatan dan hidup berkualiti, kesejahteraan sosial, pemberdayaan penguatkuasaan undang-undang dan agenda wanita muda.

Menurutnya, dasar Negara Berkebajikan yang dikemukakan oleh Pas menghayati semangat kebersamaan dan permuafakatan politik Pakatan Rakyat (PR) sebagaimana yang termaktub dalam dasar bersama PR dalam Buku Jingga dan dipersetujui dalam Konvensyen PR.

Dasar tersebut ialah demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh, hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil dan setara.

Perasmian Dewan Muslimat Pas malam tadi dirasmikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - (IH/SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails